Dataran Gemilang yang semakin dikenali berjaya menarik ratusan keluarga untuk beriadah di kawasan berkenaan dengan pelbagai aktiviti disediakan.
PRESINT 4 – Fasiliti seperti kolam renang yang terdapat di Dataran Gemilang semakin mendapat sambutan hangat daripada komuniti Putrajaya dan penduduk kawasan sekitar juga turut beriadah membawa anak-anak ke sini.
Salah seorang Pegawai Perbadanan Putrajaya (PPJ), Ahmad Sabri Jaaffar, 50, berkata, kolam renang awam ini bukan hanya terletak di Dataran Gemilang sahaja, ia juga terdapat di Presint 9, Presint 6, Presint 16 serta Presint 11 dan pembinaan kolam ini adalah salah satu inisiatif PPJ untuk memberikan ruang serta tempat bagi ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak sama ada hari bekerja mahupun cuti.
“Selain itu, mereka yang berkunjung ke sini juga berpeluang untuk berhibur bersama artis-artis ternama bersempena program Santai @ Dataran Gemilang,” ujarnya.
Pengunjung yang berasal dari Seri Kembangan, Syed Nasir Syed Idris, 43, berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka di Dataran Gemilang mempunyai fasiliti yang baik serta program riadah menghiburkan.
“Setelah sekian lama menggunakan jalan sekitar Dataran Gemilang, akhirnya saya dan keluarga dapat juga merasai sendiri suasana yang diceritakan rakan-rakan.
“Memang tidak rugi jika yang berkeluarga berkunjung ke sini kerana terdapat pelbagai aktiviti dianjurkan dan bersesuaian dengan golongan muda dan tua,” jelas Nasir ketika ditemuramah.
Menurutnya lagi, segala kemudahan memang sangat lengkap namun kemudahan tandas awam berdekatan seharusnya tidak berkunci kerana memudahkan kanak-kanak untuk membuang air dan sebagainya,”ujarnya.
Sementara itu, Mohd Salleh Kapaluddi, 35, memberitahu kemeriahan program Santai @ Dataran Gemilang sedikit sebanyak mampu menghilangkan penat lelah seharian bekerja.
“Kebanyakan aktiviti di sini tertumpu kepada anak-anak muda dan telatah mereka sedikit mencuit hati saya lebih-lebih lagi di kolam renang yang padat dengan kanak-kanak.
“Dari segi keselamatan pula, saya mengharapkan batu-batu tangga di dalam kolam dapat di ubahsuai bentuk mahupun teksturnya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” kata Salleh kepada MyPutrajayaNews.
No comments:
Post a Comment