Fahami bahawa dalam perkahwinan itu, pasangan suami isteri perlu melepasi lima fasa dalam perkahwinan. Paling penting adalah jalani dan ulangi fasa ini dengan penuh kesabaran.
1. Romantik
Masa awal-awal semunya manis dan wangi. Bak kata pepatah, bau kentut pun wangi. Tambah pula pengantin baru, cinta sedang 'mekar' berbunga-bunga membuatkan anda dan pasangan akan bersikap romantik. Tahap ini, nak berjauhan pun tak sanggup! Dan lebih romantik, cawan guna satu dan berus gigi berkongsi pun boleh.
2. Saling menyalahkan
Selepas beberapa bulan menjalani kehidupan sebagai suami isteri, anda akan nampak kesalahan pasangan. Suami isteri mula merasakan hakikat sebenar perkahwinan dan perlahan-lahan telan rasa pahit.
Masing-masing mula menunjukkan sikap sebenar mereka malah menonjolkan perasaan. Ketika inilah anda akan mula mempersoalkan sikap pasangan yang mula berubah. Timbul keadaan saling menyalahkan, rasa marah dan kecewa terhadap pasangan, mahu menang dan merasakan diri mereka lebih betul daripada pasangan.
Anda perlu bekerja lebih keras untuk kembali menyuburkan rasa cinta dan sikap saling menghargai. Luangkan waktu bersama pasangan dan penuhi hasrat mereka.
Kadangkala perasaan kecewa ini menyebabkan pasangan mula beralih pada sesuatu perkara yang boleh menenangkan mereka misalnya memberi tumpuan pada kerjaya, anak malah kekasih. Bagi pasangan suami isteri yang tidak mampu berhadapan dalam fasa ini, mereka akan mengambil jalan perpisahan.
3. Mula fahami diri dan pasangan
Bagi pasangan yang mampu melepasi tahap ini bermakna mereka bukan sekadar mencari cinta semata-mata. Perkahwinan yang dibina semakin utuh dan kuat malah mampu mewujudkan sebuah perkahwinan yang lebih baik. Pada tahap ini pasangan mula meningkatkan kualiti dalam perhubungan mereka.
Pasangan mula mencari maklumat malah pandangan baru berkaitan hubungan perkahwinan mereka agar masing-masing mampu melaluinya dengan mudah. Mereka juga saling berusaha untuk memahami diri sendiri dan juga pasangan. Suami isteri yang berada di tahap ini mampu hidup bahagia lebih dari 30 tahun.
4. Hidup harmoni
Pada fasa ini pasangan suami isteri mampu hidup harmoni walaupun mereka berbeza karakter. Anda akan membuktikan mampu menjadi pasangan yang ideal untuk pasangan anda.
Pemikiran anda seiring dengan fasa perkahwinan, inilah yang dinamakan harmoni menghadapi perbezaan pasangan, melalui proses perbincangan dan komunikasi yang jelas dan mampu menyelesaikan masalah perkahwinan dengan lebih baik lagi.
Anda berdua saling menunjukkan perhatian, saling memerlukan dan menunjukkan penghargaan atas dasar saling ercaya, tenteram dan lebih aman.
5. Kecap bahagia
Pada tahap ini anda berdua mampu mengembalikan keceriaan, kemesraan, keintiman dan kebahagiaan anda dan pasangan. Waktu yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk anda saling memberi perhatian.
Setelah memahami lima fasa dalam perkahwinan ini seharusnya anda lebih tahu bagaimana berhadapan dengan permasalahan yang dihadapi dalam rumah tangga. Banyakkan bersabar menjalani dan mengulangi setiap fasa perkahwinan yang anda alami.
No comments:
Post a Comment