Membuat keputusan untuk memberikan makanan kepada bayi anda pastinya menjadi satu kesukaran kerana bimbang akan kesan satu-satu makanan itu kepada si kecil anda. Lebih sukar lagi bagi ibu beranak sulung yang mempunyai pola pemakanan yang agak sensitif. Tentu sukarnya memilih apa yang terbaik untuk bayi anda?

Ya, bayi akan mula diperkenalkan makanan pejal seawal usia enam bulan dan ketika inilah ibu akan cuba memberikan pelbagai jenis makanan yang bersesuaian dengan bayi mereka.

Jadi, Mama kena ambil tahu makanan yang terbaik dan seimbang untuk bayi dan anak-anak. Rangkaian makanan yang dikongsi ini merupakan pilihan makanan perlu diberikan dalam menu harian bayi dan kanak-kanak.

1. Beras Perang
Beras perang merupakan beras yang tidak dibuang selaput kulitnya. Selaput ini mengandungi nutrisi yang sememangnya diperlukan oleh badan. Ini termasuklah serat, protein, magnesium dan juga zink. Bagi bayi, kandungan vitamin B1, B2, B6, zat besi, fosfat serta kalsium yang cukup tinggi berbanding beras putih amat diperlukan untuk memberi tenaga pada sel tubuh mereka. Cukup bagus untuk perkembangan saraf juga jantung mereka.

2. Sayuran Hijau
Sayuran berdaun hijau mempunyai antioksidan dan serat tinggi semula jadi di dalamnya. Ini merupakan sumber gizi yang baik dan penting dalam pemakanan seorang bayi. Penyesuaian bayi dengan makanan yang baru diterimanya membuatkan ada kalanya bayi sukar untuk membuang air besar. Sayuran berserat tinggi inilah yang akan membantu mereka untuk melancarkan pencernaan. Kandungan zat besi, beta karotin serta sedikit protein di dalamnya membantu perkembangan bayi. Sayuran seperti bayam memiliki sumber serat terbaik untuk si kecil anda.

3. Kumpulan Daging
Daging sebenarnya kaya sumber protein dan zat besi yang sangat penting untuk bayi. Zat besi ini membantu menghasilkan hemoglobin dalam komponen sel darah merah. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, pengambilan daging merah amat disarankan namun bagi bayi, anda perlu merebus dan mengisar daging menjadi komponen yang kecil dan mudah untuk bayi mengunyah. Paling selamat pilihlah daging ayam yang ternyata lebih mudah diterima oleh bayi.

4. Brokoli
Brokoli kaya dengan kalsium dan asik folik yang mempunyai begitu banyak kelebihan kepada bayi. Dalam 100 gram brokoli yang dimasak, mengandungi 56 mikrogram asid folik dan 88 miligram kalsium di dalamnya. Kuasa kalsium dan asid folik ini membantu untuk kekuatan tulang bayi. Selain itu brokoli juga meningkatkan sistem imun bayi dan meningkatkan fungsi hati. Rebus brokoli dan lenyek sahaja bersama nasi yang disediakan untuk mereka.

5. Pisang
Tekstur pisang yang lembut membolehkan dicerna dengan mudah. Buah pisang kaya dengan kalium, kalsium, magnesium serta zat besi yang cukup diperlukan oleh pertumbuhan awal bayi. Malah pisang juga menjadikan tekanan darah bayi menjadi lebih sihat dan membantu fungsi jantung mereka. Penambahan khasiat vitamin B2, B6 dan Vitamin C juga membantu tulang yang sihat.

6. Buah Beri
Rangkaian buah beri seperti strawberi, blueberi, raspberi atau mulberi sangat baik untuk kesihatan bayi. Rangkaian buah ini mengandungi vitamin C yang tinggi dan membantu pertumbuhan tulang dan gigi yang kuat selain kalsium. Selain itu, buah ini juga mengandungi asid folik dan mineral zink yang penting untuk pertumbuhan otak.

7. Labu
Labu menjadi pilihan makanan yang sihat untuk bayi kerana kandungan lemaknya yang rendah serta memiliki serat yang baik untuk mereka. Teksturnya yang lembut membolehkan ia mudah dihadamkan oleh bayi selain memiliki vitamin A serta betakarotin.

8. Bijirin
Bijirin bagi bayi selalunya diolah menjadi bubur kerana ia lebih mudah dihadamkan oleh mereka bersama susu. Bijirin mengandungi protein, karbohidrat serta mineral lain seperti magnesium, zat besi dan juga kalsium.

*Info Tips Sihat
1. Karbohidrat amat penting kepada anak terutama untuk perkembangan otak dan bekalan tenaganya. Sumber; roti, bijirin, kekacang.

2. Protein pula diperlukan untuk membentuk, membaiki serta menggantikan tisu-tisu badan dan juga tulang serta darah mereka. Sumber; daging, ikan,  ayam dan juga susu.

3. Makanlah makanan dari sebarang sumber asid lemak seperti omega-3 dan omega-6 yang menggalakkan pembentukan sistem otak, saraf dan mata.