5 August 2016

Laraskan Gaya Fesyen Anda

Stail yang hadir dalam diri setiap wanita merupakan gambaran siapa diri mereka sebenarnya. Mungkin ada orang yang kekal pada gaya yang kelihatan manis kerana itu adalah gambaran diri di dalam minda. Namun ada juga insan yang bergaya bak kameleon, berani mencuba setiap jenis gaya berbeza untuk kepuasan diri dan takut dilabel senada dan tidak berani mencuba.

Kami menyenaraikan cara gaya berpakaian mengikut acara dan juga waktu sebagai panduan untuk anda. Empat stail ini adalah laras gaya fesyen utama dalam kehidupan wanita.

STAIL KE TEMPAT KERJA
Bergantung pada institusi pekerjaan yang anda ceburi, gaya haruslah diolah agar tidak melanggar kod berpakaian. Sebagai contoh sekiranya anda bekerja di dalam sektor awam yang memerlukan anda berpakaian kebangsaan, pilih rekaan busana yang tidak bosan dan bermainlah dengan rona warna terang untuk memberikan aura sempurna.

Sebagai contoh, suntikan rona ungu dan hitam dilihat seimbang dalam aura serius. Gandingkannya dengan sepatu tumit tinggi yang selesa untuk anda gayakan serta beg sandang bersaiz sederhana. Cubalah jika anda berani, siapa kata pakaian untuk bekerja harus bosan!

Bagi stail kerja yang lebih moden pula sarungkan persalinan jaket dan blazer dengan rekaan yang tidak membosankan.  Jangan pula anda menyarungkan persalinan sut bosan yang potongannya lebih besar daripada tubuh anda. Seperti yang ditonjolkan daripada koleksi resort 2014 McQ Alexander McQueen, padanan kemeja putih dan blazer hitam diserikan dengan pemakaian seluar bercorak dari rona terang. Gaya ini kelihatan playful namun masih punya kekemasan yang baik. Untuk gaya lebih menarik bimbit clutch daripada rona senada sama dengan seluar yang dipakai.

STAIL KASUAL
Dalam merencana busana kala liburan jangan mencuba keterlaluan untuk kelihatan fashion forward. Sebaliknya diri anda akan kelihatan lebih fashion forward seandainya kekal dengan pepatah less is more. Untuk gaya liburan, cukup dengan busana yang selesa dan mudah untuk digayakan. Jangan pula anda berpakaian terlalu seksi yang menjolok mata.

Bila dilihat suasana fesyen tambahan pula di negara kita, janganlah juga kita sekadar menyarungkan legging dan bustier ala coli. Tidak manis bukan? Apa yang tertera pada pakaian yang dipakai juga penting, janganlah memakai t-shirt dengan perkataan yang lucah, ini bukan fashion forward tapi backward pemikirannya!

Sebagai contoh, bergaya santai dengan busana lebih longgar memberi keselesaan penuh. Aksesori memberikan sedikit aura cita rasa mewah. Untuk menaikkan lagi seri pemakaian cuba tukarkan skirt yang ditonjolkan kepada skirt yang bercorak ataupun yang memiliki warna lebih ceria. Jika mahu lari daripada gaya terlalu feminin pula, gantikannya dengan pemakaian skinny jeans dan juga sepatu boots atau sandal. Mudah bukan? Masih stailo namun kekal sopan dan relevan.

STAIL KE PERTEMUAN ROMANTIS
First impression is always important! Jangan pernah mengabaikan penampilan anda untuk pertemuan kali pertama. Ada beberapa perkara yang anda harus ambil kira dalam kod berpakaian:

Jadi diri sendiri
Ini adalah kunci gaya yang terbaik, jangan pula kerana dimomokkan dengan gaya dari filem romantis kegemaran anda mengikut setiap apa yang digayakan sehingga nampak canggung pada penampilan. Setiap daripada wanita punya forte gayanya tersendiri jadi ikutlah stail kegemaran anda.

Jangan keterlaluan
There is a thin borderline between sexy and slut! Mungkin kedengaran kasar, namun ini hakikatnya. Tatkala mengenakan dress pendek fikirkan panjang dress anda. Untuk menggayakan dress pendek, pastikan bahagian dada tidak terdedah dan labuh dress betul-betul berada pada paras atas lutut dan bukannya lebih tinggi. Ingat anda bukannya menjual diri, tetapi anda hendak mengenali seseorang.

Jangan membazir
Semata-mata kerana pertemuan pertama dengan si dia, anda sanggup berhabis wang untuk membeli busana baru. Simpan wang anda dan pakai apa yang ada di dalam gerobok anda. Little black dress yang anda ada boleh digayakan ke mana sahaja. Ini adalah satu investment piece yang baik bagi, cuma gayakannya dengan aksesori seperti anting-anting sarat dan rantai dempak untuk stail mewah.

STAIL MAJLIS GLAMOR
Sebagai wanita berkerjaya, pastinya anda perlu menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat mahupun klien. Pastinya masing-masing tidak mahu kalah dalam bergaya. Biasanya di dalam majlis sebegini, akan ada tema yang diberikan. Ini adalah perkara pertama yang anda harus teliti apabila mendapat jemputan. Kod pemakaian yang diberikan haruslah dipatuhi supaya anda tidak nampak janggal pada majlis yang diadakan. Ini adalah antara dua kod majlis yang anda perlu ketahui.

Black tie
Untuk kod pemakaian ini, pasti banyak yang keliru dengan berfikir bahawa dress labuh diperlukan. Pertama anda perlu mengkaji jenis acara, lokasi dan waktu majlis berlangsung. Selalunya majlis berkod black tie ini berlangsung dari jam 6 petang ke 9 malam, jadi cukup sekadar menyarungkan dress koktel dan jangan lupa untuk menyarungkan stoking kaki agar kelihatan lebih sopan. Anda juga boleh memakai top satin bersama skirt satin paras lutut asalkan ia nampak kemas. Elakkan memakai seluar ke majlis yang sudah di tanda dengan kod ini.

White tie
Kod white tie adalah satu kod pemakaian yang lebih formal daripada kod black tie. Jika anda mendapat jemputan dengan kod pemakaian sebegini, dress labuh adalah diperlukan. Percikkan sedikit kemewahan namun jangan sampai kelihatan seperti pokok Krismas, cukup sekadar ia memberi stail yang feminin pada penampilan. Warna-warna yang disarankan untuk majlis dengan kod ini adalah rona pastel, merah gelap, ungu gelap, emas, perak dan juga hitam. - NONA

1 comment: