8 August 2014

Tren Kargo KTMB Tergelincir Dari Landasan

Kargo_L
Insiden itu melibatkan empat daripada 30 gerabak tren kargo yang dalam perjalanan dari Padang Jawa, Klang menuju ke Chemor, Perak.
KUALA LUMPUR, 8 Ogos:
Tren kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad, (KTMB) tergelincir dari landasan di Kilometer 386.00 antara Bank Negara ke Kuala Lumpur pada jam 3.11 pagi.
Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Siti Badariah Wan Hanafi dalam satu kenyataan berkata, insiden itu melibatkan empat daripada 30 gerabak.
“Empat gerabak yang tergelincir ini menghalang laluan bagi perkhidmatan tren. Tren barang ini dalam perjalanan dari Padang Jawa, Klang ke Chemor Perak,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan gangguan perkhidmatan tren komuter dan antara laluan tren yang terlibat adalah:
-Laluan Sungai Gadut – Rawang.  Perkhidmatan ini akan tamat di Stesen KL Sentral sahaja dan berpatah balik.
- Laluan Rawang – Sungai Gadut.  Perkhidmatan ini akan tamat di Stesen Kepong sahaja dan berpatah balik.
- Laluan Batu Caves – Port Klang. Perkhidmatan ini tamat di Stesen Sentul sahaja dan berpatah balik.
- Laluan Port Klang – Batu Caves. Perkhidmatan ini tamat di Stesen KL Sentral sahaja dan berpatah balik.
Tiada perkhidmatan tren dari dan ke Stesen Kuala Lumpur, Bank Negara, Putra, Sentul dan Segambut.
Sementara itu katanya, perkhidmatan KTM Intercity turut mengalami gangguan, antara yang terlibat adalah:
# Tren no. 21 – Ekspres Langkawi (Hatyai-KL Sentral)
Tren ini akan berhenti di Stesen Tg. Malim dan para penumpang akan meneruskan perjalanan ke KL Sentral menggunakan bas.
# Tren ETS dari Ipoh – KL Sentral (jam 5.00 pagi)
Perkhidmatan ini akan tamat di stesen Kepong dan para penumpang akan dibawa ke Stesen KL Sentral menggunakan bas.
# Tren ETS dari KL Sentral – Ipoh (jam 6.00 pagi)
Siti Badariah berkata, para penumpang akan menaiki bas dari Stesen KL Sentral ke Stesen Kepong dan meneruskan perjalanan ke Ipoh menggunakan tren.
“Kerja-kerja membaikpulih landasan sedang dijalankan dan satu landasan dijangka siap pada jam 1 tengahari esok.
“Kedua-dua landasan pula dijangka siap sepenuhnya pada hari Ahad, 10 Ogos 2014. Pihak kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke masa,” katanya.

No comments:

Post a Comment