16 January 2015

Jepun amal nilai murni Islam

Baru-baru ini saya berbual panjang bersama seorang rakan baik yang baru pulang dari Jepun atas urusan perniagaan. Beliau teruja berkongsi pengalaman sepanjang berada di sana.
Banyak perkara yang diceritakan sehingga kadangkala membuatkan saya terlopong. Benar, selama ini saya pernah juga mendengar dan membaca bagaimana cara hidup masyarakat Jepun yang dikatakan sangat berdisiplin, tetapi mendengar sendiri daripada orang yang baru 'melaluinya' ini sangat berbeza.
Katanya, kebanyakan nilai murni yang diunjurkan di dalam Islam untuk kehidupan penganutnya dipraktikkan oleh rakyat Jepun yang sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang penuh dengan disiplin.
Kebersihan
Di dalam Islam, kita mengetahui kebersihan perkara paling dititikberatkan hingga Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman."
Malangnya, kepentingan menjaga kebersihan tidak banyak disedari umat Islami. Pengalaman saya berkelana ke negara majoriti orang Islam seperti negara Arab, negara jiran kita dan beberapa negara lain, tahap kebersihan sungguh menyedihkan.

Jika mahu membuang sampah, buang saja di mana-mana tanpa perlu berfikir panjang. Belum masuk lagi hal kebersihan di sesete-ngah kedai makan, di mana tikus dan lipas berkeliaran bebas hingga timbul rasa yang memualkan.
Namun perkara ini berbeza dengan masyarakat Jepun seperti diceritakan kepada saya. Sepanjang di sana, beliau menyatakan sukar melihat sampah walaupun pembalut gula-gula di atas jalan.
Sedikit menghairankan juga apabila beliau menceritakan, memang sulit untuk nampak tong sampah di tempat awam. Jika ada pun, mungkin terlalu sedikit dan kita perlu 'mencari' di mana letaknya tong sampah berkenaan. Secara logiknya, jika tiada tong sampah, pasti orang akan menjadikannya sebagai alasan untuk membuang sampah merata-rata.
Namun ia berlaku sebaliknya. Tiada tong sampah tetapi pada masa sama, persekitaran tidak tercemar dengan sampah sarap. Apabila berbual dengan ketua rombongan trip ke Jepun yang tujuh tahun tinggal di sana, baru rakan saya faham bagaimana keadaan itu berlaku.
Rupa-rupanya masyarakat Jepun diterapkan dengan amalan bahawa sampah sarap hendaklah disimpan dalam saku dan dibuang di rumah.
Ketika berjalan-jalan di tengah bandar pula, rakan saya terpandang plastik diletakkan di bahu jalan yang mengandungi sampah sarap di dalamnya yang menanti untuk diangkut ke dalam lori sampah. Peliknya, plastik itu adalah lutsinar dan kita dapat melihat 'sampah' yang terkandung di dalamnya.
Rupa-rupanya memang adat di sana, plastik sampah hendaklah lutsinar supaya pekerja yang akan mengangkut sampah itu tahu apa yang diangkutnya. Walaupun ia hanya sekadar sampah, masyarakat di sana peka mengenai perkara yang mungkin kita rasakan kecil dan remeh ini.
Ketika cuaca mulai sejuk, rakan saya diserang selesema dan batuk. Biasalah, apabila batuk, tentu dada ini penuh dengan kahak. Namun, rakan saya sukar dan segan untuk membuang kahak apabila di tempat umum kerana sepanjang pengamatannya, tidak pernah melihat orang meludah di tempat awam atau bahu jalan.
Bukan itu saja, untuk melihat atau mendengar orang batuk dan bersin di tempat awam juga jarang di negara matahari terbit ini. Hanya dapat dilihat adalah orang ramai memakai topeng seperti topeng jerebu. Pada hemat rakan saya, mungkin kerana mereka tidak mahu dijangkiti selesema atau batuk.
Rupa-rupanya anggapan itu terbalik. Rakan saya dimaklumkan, adat dan prinsip masyarakat Jepun yang diterap-kan sejak kecil ialah, jangan menyusahkan atau mengakibatkan kesusahan kepada orang lain.
Orang yang memakai topeng berkenaan bimbang selesema atau batuk yang dialaminya berjangkit kepada orang lain. Sampai begitu sekali tahap prihatin dan pemikiran mereka.
Saya seolah-olah sukar percaya, namun melihat riak muka wajah rakan, saya tidak merasa beliau mereka-reka cerita. Banyak lagi perkara yang beliau ceritakan yang saya rasakan menarik untuk dikongsi bersama pembaca untuk kita jadikan inspirasi menjadi orang yang lebih baik pada masa depan.
Insya-Allah jika tiada aral, kita akan berkongsi pula bagaimana masyarakat Jepun mengamalkan disiplin dan penjagaan masa dalam kehidupan seharian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM

1 comment:

  1. memang yaya, sebenarnya org luar lg mengikut nilai murni yg sama dgn islam. contoh mase kt german dulu pon bila handbag kita tertinggal kt satu tempat, bila kte teringat dan dtg blk mesti ada, atau pon dorg akn call kte suro amik.

    ReplyDelete