Salah satu sifat yang perlu ada pada setiap warga perkhidmatan awam ialah ikhlas kerana apa yang kitani lakukan ini adalah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Keikhlasan dalam bekerja sangat penting kerana ia dapat mempengaruhi budaya kerja seseorang individu. Ini kerana orang yang ikhlas akan ada sifat pemedulian untuk membantu rakan dalam memudahkan segala urusan serta akan sentiasa berusaha untuk memanfaatkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya dan akan memastikan segala perkara-perkara yang asasi dan utama tidak diabaikan seperti kedatangan, komitmen, dedikasi, displin dan integriti. Selain itu, orang yang ikhlas akan sedaya upaya mengelakkan dari sikap berlengah-lengah atau sambil lewa dalam melakukan pekerjaan.
Sesungguhnya orang yang ikhlas berkerja kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala, mereka akan menerima tanggungjawab dengan penuh keredhaan dan akan sentiasa bersungguh-sungguh bagi menghasilkan prestasi kerja yang terbaik. Dengan melakukan kerja dengan keikhlasan akan membuahkan keberkatan dalam kehidupan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu ia mendengar RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
“Sesungguhnya pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan memperolehi hasil sesuai dengan niatnya itu”
Di samping berkhidmat secara ikhlas dan menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah, setiap pekerja juga dituntut supaya mentaati ketua atau majikannya yang juga merupakan Ulil Amri kepada mereka.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisa ayat 59 tafsirnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ...... (59)
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
Selain itu, sifat sabar juga perlu ada bagi setiap warga perkhidmatan awam. Ini kerana orang yang bersifat sabar akan mempunya ketahanan hati dan perasaan dalam menghadapi sebarang tekanan, desakan sekeliling atau menerima sebarang kesusahan. Serta tidak cepat melenting apabila menerima kritikan dan tidak cepat marah di dalam apa jua perkara. Malahan perlu kitani amalkan ialah sentiasa tenang dan bersifat pemaaf.
Selaku warga perkhidmatan awam, tidak kira samada ketua ataupun orang bawahan, hendaklah sama-sama memikul tanggungjawap yang telah diberikan kerana agama Islam menuntut umatnya untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawap itu yang merupakan suatu amanah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana dalam firmannya dalam surah al-Anfaal ayat 27 tafsirnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ(27)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui”.
Oleh yang demikian, sama-sama kita berdoa agar warga perkhidmatan awam menjadi pekerja yang ikhlas, kreatif, inovatif dan produktif, tabah melaksanakan tugas dan dedikasi, tabah menghadapi cabaran, serta dapat membawa masyarakat semua ke arah satu cara hidup yang terpuji dan diberkati. Dan mudah-mudahan segala pekerjaan yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala, mendapat berkat dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment