12 May 2015

PENTINGNYA FAHAM !



Entahlah.



Ini bukan rasis. Lelaki juga sama.



Tahu saja belum memadai.



Daripada membazir air liur lebih baik jimatkan apa yang dibazirkan.



#sarkastik #PentingnyaFaham







Jika seseorang itu baru berubah ke arah kebaikkan berilah masa dan peluang. Janganlah mengharap dia berubah total sedangkan sebelum ini dia jahil.

Bagaimana mungkin seorang yang baru berubah 2 tahun boleh berubah total sedangkan 20 tahun sebelumnya dia hidup dalam kejahilan.



Seorang lelaki telah datang kepada aku seraya berkata. "Majoriti manusia hari ini mempunyai iman perasaan. Mereka merasa cukup dengan iman yang ada. Mereka belajar agama supaya dapat mengamalkan ilmu tersebut dan berharap dengan iman tersebut dapat selamat di akhirat kelak."

"Apabila ada manusia lain tertindas mereka merasa marah dan sakit hati. Jika ada manusia berbuat maksiat mereka merasa sedih. Jika ada yang tidak menutup aurat mereka merasa malu. Pada yang jahil mereka merasa kasihan. Semua perasaan tersebut dikongsi dan diceritakan dalam media sosial tanpa ada usaha sedikit pun secara fizikal. Inilah namanya iman perasaan."

Dia kata lagi, "Perkara yang paling patut difikir-risau-bimbang ialah masalah iman. Manusia akhir zaman dahagakan iman tetapi tidak tahu bahawa mereka sedang menderita iman."

Dia sambung bicara, "Iman kita tak sebanding Sahabat. Iman Sahabat ialah iman pengorbanan. Sahabat telah mengorbankan seluruh kehidupan mereka untuk agama. Mereka sanggup tinggalkan Mekah Madinah semata-mata menyebarkan Islam dan buat usaha atas iman."

"Hari ini kita perlu usaha atas iman. Buat dakwah cara Nabi. Bukan nak betulkan manusia. Bukan nak tunjuk pandai. Tapi untuk islah diri perbaiki diri dan ajak orang lain usahakan iman supaya mereka juga sedia dan ajak orang lain dan orang lain juga usaha atas orang lain sehinggalah agama sampai ke hujung-hujung dunia."

Dia kata, "Semua orang Islam bertanggungjawab atas kerja ini. Kerja mengajak manusia kepada ALLAH. Kita kena buat kerja agama ini ikut cara dan sunnah Nabi. Bukan cara dan fikir kita yang cetek. Pergerakan cara Nabi ini akan menarik hidayah dan rahmat ALLAH."

(Aku merasa dia berkata mengenai aku. Aku pun tak tahu bahawa iman aku iman perasaan atau iman perasan. Dia ada bagi metafora tentang iman perasaan.




Sekiranya kita semua mengamalkan Islam secara keseluruhannya nescaya semua manusia akan satu hati.

(saya juga masih banyak kekurangan dalam mengamalkan Islam )
 




Sedar diri jauh lebih baik daripada hilang rasa malu.



Niat itu penting dan niat tidak pernah menghalalkan cara. Selalulah berniat hendak belajar bukan mengajar. Walau bagaimanapun niat mestilah selari dengan perbuatan. Jangan niat di hati nak belajar tapi cara perbuatan macam nak mengajar dan adakalanya kurang ajar.



Dalam laman sosial ada perkara yang boleh kita kongsikan dan ada perkara yang kita kena jaga terutamanya hal-hal peribadi dan hal-hal yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan.

Keburukan di dunia ini satu hal. Keburukan di akhirat siapa tahu.




Sunnah Nabi adalah perkara yang wajib kita yakini. Sahabat amal semua cara hidup Nabi tanpa tahu kelebihan setiap Sunnah. Apabila Sahabat mendengar sabdaan tentang kelebihan Sunnah, amalan Sahabat bertambah hebat.

Hari ini atas kelemahan iman kita, ada dikalangan kita tidak yakin dengan Sunnah dan cara hidup Nabi walaupun banyak fadhilat telah kita dengar tentang Sunnah. Tetapi apabila ada kajian sains tentang satu-satu Sunnah, kita merasa bangga dan terus amal sunnah tersebut.

Persoalannya, adakah kita yakin dengan Sunnah atau sains?




Wahai wanita
Apakah kau mahu jadi busur panah syaitan?
Wahai wanita
Tidakkah kau mahu jadi ketua para bidadari?

Kasihanilah kami para lelaki yang imannya cepat goyah.





Terkadang kita lupa dosa, salah dan silap yang orang lain lakukan adalah disebabkan oleh kejahilan dan kecuaian kita sendiri.





Biarlah kebaikan kita hanya ALLAH yang tahu.
Keburukan sendiri kita luah dan mintalah belas ihsan dalam doa-doa kita.

Kebaikan orang lain jika bermanfaat kita kongsikanlah.
Keburukan orang kita tutuplah sebagaimana kita tidak mahu aib kita diketahui.

Bahaya teknologi hujung jari kalau jari-jemari kita lebih celaka dari lidah bercabang kita.





Sesuatu yang kita belum pasti kesahihannya janganlah diceritakan dan disebarkan. Keburukan itu apabila diceritakan maka ia cepat merebak seperti wabak dan virus. Bahkan cerita, gosip, umpatan dan khabar angin yang buruk lebih cepat tersebar daripada cerita-cerita kebaikan.

Jadilah kita penyebar kebaikan. Jika tidak jadilah orang yang tidak menceritakan keburukan. Jika tidak maka yang terbaik sekali ialah diam.






Keburukan tidak kira kecil atau besar yang kita saja tahu atau mungkin orang keliling juga tahu atau mungkin orang kampung/taman/pekan juga tahu, jika kita ceritakan dalam media sosial maka keburukan itu akan tersebar ke merata pelusuk bandar, negeri, negara sehingga mungkin sampai ke hujung-hujung dunia dengan cara muat naik, komen, like, share, copy paste dan lain-lain.

Jika kita kongsikan perkara kebaikan maka ia juga akan tersebar dengan cara yang sama. Jadi marilah kita sama-sama menjadi penyebar kebaikan. Moga-moga ada saham kebaikan untuk kita kelak.

Kalau kita betul-betul prihatin dengan perkara keburukan maka selidiklah dulu. Pastikan kesahihannya. Cegah dan buatlah laporan. Jangan hanya pandai jadi pahlawan papan kekunci sahaja.


Sekiranya kita cemburu dengan kejayaan orang lain maka itu adalah perkara biasa. Manusia normal akan cuba bersaing secara sihat untuk memperoleh kejayaan yang sama.

Tetapi sekiranya cemburu kita membawa kepada cubaan menjatuhkannya supaya kita pula berpeluang mendapat kejayaan atau kita gembira melihat kejatuhan orang lain maka ketahuilah bahawa itu merupakan PENYAKIT HATI.


Syirik, khurafat dan yang sealiran dengannya bukan sahaja boleh terjadi melalui perbuatan malah ia boleh jatuh melalui perkataan, pemikiran dan keyakinan.

Contohnya, apabila kita buat atau baca sesuatu kononnya untuk suka-suka kemudian ia terkena batang hidung atau kebetulan berlaku dalam kehidupan kita walaupun kita ucap syukur tetapi dalam hati terdetik sedikit bahawa perkara itu ada kaitan atau sama dengan apa yang kita buat atau baca suka-suka tadi maka dikhuatiri iman kita sudah ditiup debu syirik.

Jangan main-main syaitan ada sejuta cara nak rosakan iman kita. Cara terbaik untuk jauhkan tipu daya syaitan, selain daripada menjauhkan diri dari perbuatan syirik ialah berusaha memperbaiki dan memperbaharui iman mengikut cara dan Sunnah Nabi s.a.w.

(sayalah yang sepatutnya perlu usaha dan fikir-risau-bimbang tentang perkara ini)


Dalam bab agama, merangkumi semua disiplin ilmu, perlu pada guru dan berguru mengikut adab dan tertib yang betul. Lebih-lebih lagi bab Quran, tafsir, hadis dan sebagainya.

Ilmu agama adalah ilmu wahyu yang bukan boleh difahami dengan membaca sahaja atau bertanya secara maya tetapi perlu berguru secara langsung. Adalah sangat-sangat penting kita merujuk terus kepada guru yang mursyid kerana agama bukan boleh difikir secara logik kepala otak cetek kita.

Jangan ambil jalan mudah berguru dengan Tuan Guru Sheikh Al-Google Al-Copypaste.

(Tuan Guru Google ini lebih bidaah dari wahabi tau tak)



Kebenaran adalah nur atau cahaya. Bathil pula ialah kegelapan.

Sekiranya kita hendak menghilangkan gelap maka kita bawalah cahaya. Apabila kita cuba melagakan gelap dengan gelap ianya seperti menyimbah minyak ke atas api yang sedang marak.

Ya tiada manusia yang sempurna. Tetapi kita cubalah sebaik mungkin sempurnakan hak sesama kita.

(saya juga masih banyak kekurangan )
 




Menegur atau memberi teguran adalah amalan yang baik. Menerima teguran pula adalah lumrah dalam kehidupan seharian. Namun dalam memberi teguran ada seninya dan perlu kepada hikmah.

Seseorang biasanya boleh menerima teguran dan mampu berubah. Kadang kala disebabkan teguran juga seseorang boleh semakin jauh dan hilang pedoman. Bukan kerana ditegur tetapi kerana cara menegur yang salah walaupun niat kita baik.

Memberi teguran kepada seseorang secara khusus tidak sama dengan memberi teguran kepada masyarakat umum. Jika kita tidak tahu menegur mintalah kepada orang yang lebih arif. Yang kena tegur pula janganlah cepat terasa dan kecil hati bila ditegur. Cubalah terima secara terbuka dan berlapang dada.







Kepada semua kawan-kawan,

Beri saya masa untuk buat sambungan PENTINGNYA FAHAM.

Terima kasih.





Sokongan anda semua sangat-sangat dihargai. Terima kasih.





Doa adalah senjata orang mukmin. Semua doa akan dimakbulkan dan tidak ada satu doa pun yang akan ditolak. Sama ada doa kita dibayar tunai, dijadikan terhindar bala, atau dibayar di akhirat kelak. Maka berdoalah yang baik-baik. Doa yang paling mahal ialah doa hidayah.

Sangat digalakkan kita memperbanyakkan doa. Doa dan usaha perlulah selari. InsyaAllah akan dimakbulkan kecuali atas sebab-sebab tertentu doa akan tertolak seperti sumber darah daging kita haram. Setelah berdoa, berusahalah kemudian tawakal. Atas kelemahan iman, kita tawakal saja. Kemudian baru kita nak berusaha. Akhirnya bila semua tidak menunjukkan hasil barulah kita terhegeh-hegeh berdoa bagai.






Sabar adalah sesuatu yang subjektif dan berbeda antara setiap manusia. Ada orang sabar diuji dengan kesusahan. Ada orang sabar diuji dengan kesenangan. Ujian kesabaran juga berbeza. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Bekerja itu ujian, menganggur juga ujian. Bujang itu ujian, berkahwin juga ujian. Pendek kata kesabaran kita diuji setiap masa dan keadaan.

Terkadang kita menjadi ujian kesabaran orang lain. Terkadang orang lain pula menguji kesabaran kita. Jadi marilah kita meringankan ujian orang lain moga-moga kesabaran kita tidak diuji dengan berat. Bila kita bertolak ansur dan toleransi insyaAllah hidup kita akan aman.

(Tapi tahap kesabaran pun ada batasnya. Saya juga terkadang hilang sabar. Ah tak apa Malaysia masih aman)


Dunia Darul Asbab.

Gunalah sebanyak dan sebaik mungkin asbab. Tapi jangan sampai keyakinan dunia masuk dalam hati kita. Yakin kita hanya pada ALLAH. Asbab tak boleh buat apa-apa. Yang buat segala-galanya ialah ALLAH.

Jika kita yakin pada asbab maka apa beza kita dengan orang bukan Islam?

(Sayalah itu )


Apabila seseorang itu berbuat atau berubah atau mendekatkan diri ke arah kebaikan ataupun melakukan ibadah atau mengamalkan sunnah maka orang kita akan menggelar dan memanggilnya orang alim, ustaz, ustazah, berlagak, tunjuk pandai dan berbagai lagi kata pujian berbunyi sindiran dan retorik.

Memuji tidaklah salah tetapi cara pujian itu walaupun kedengaran baik namun sesetengah orang merasa rimas dan tidak suka dengan gelaran tersebut. Terkadang pujian-pujian itu bukan memberi galakan tetapi ada kalanya menjatuhkan mental seseorang.

Apalah salahnya kita beri galakan, sokongan atau ucapan tahniah kepada mereka. Orang yang berbuat kebaikan bukanlah asalnya orang yang baik. Mungkin orang itu berasal dari latar hidup yang jahil atau buruk. Kemudian kita memuji begitu dan tanpa diduga senyap-senyap dia makin jauh dari kebaikan kerana merasa tersindir dan tidak layak.

Perubahan seseorang ke arah keburukkan atau menjauhi kebaikan mungkin berpunca dari sikap kurang matang, gurauan, dan sindiran kita sendiri. Hati-hatilah apabila mengeluarkan kata-kata. Lidah lebih tajam dari mata pedang.


Arak atau minuman keras seperti yang kita sedia maklum adalah mutlak hukumnya haram. Hari ini arak dijual secara terbuka di pasaraya-pasaraya besar, kecil dan kedai runcit yang bahkan ada dijual dan diuruskan oleh pekerja Islam sendiri.

Sangat menyedihkan keadaan ini kerana pekerja beragama Islam yang menjadi juruwang dan membuat transaksi jual beli arak daripada pembeli bukan Islam. Sekiranya anda boleh menegur maka terangkanlah dengan kasih sayang. Jangan menegur dengan cara membuka aib mereka. Mungkin mereka tidak tahu bahawa dosa arak bukan hanya jatuh kepada peminum sahaja.

(Betapa lemah iman kita. Saya hanya mampu kasihan dan mendoakan bila ternampak juruwang Islam berurusan dengan pembeli arak. )


Ada orang petah berkata. Boleh memperaga atau melebih-lebihkan ayat sehingga perkara yang kecil boleh dibesar-besarkan, yang tidak penting menjadi bualan dan yang tidak diketahui menjadi viral.

Perkataan atau kata-kata yang kita tuturkan yang berintonasi lembut mahupun susunan kata yang baik-baik atau tanpa maksud tersembunyi atau tanpa niat atau apa sekalipun mungkin akan tersebar dengan cara yang jauh menyimpang dari maksud sebenar kita.

Zaman ini bukan sahaja perbualan malah pesanan ringkas pun boleh disalah tafsir. Kita tulis kata yang mendatar tapi dibaca dengan nada menegak. Kita tulis dengan niat menasihati tapi dibaca dengan intonasi marah. Akhirnya kita yang tidak bersalah menjadi bahan fitnah, dimusuhi, dibenci, dijauhi dan dipandang serong.

(Kawan zaman fitnah yang serba laju ini lebih baik kita kurangkan bercakap atau berkata apabila perlu saja ataupun diam kerana apa yang kita cakap atau tulis hari ini akan tersebar esok lusa dengan cara dan cerita yang berbeza.)


No comments:

Post a Comment