24 November 2015

Timang Anak Ke-3, Shuib Tidur 1 Setengah Jam Sebelum #JuaraParodi

timang anak ke-3 shuib tidur 1 setengah jam sebelum juaraparodi

Pelawak Shuib Sepahtu mendedahkan yang dia cuma tidur selama satu setengah jam sebelum bertanding dalam program #JuaraParodi.

Ini semua kerana Shuib yang bergegas dari satu lokasi ke satu lokasi lain sebelum tibanya hari pertandingan.

Pada hari yang sama, isteri Shuib, penyanyi Siti Sarah Raisuddin melahirkan anak ketiga mereka pada jam 12.27 tengah hari.

"Pada petang Khamis, saya terlebih dahulu berada di Shah Alam menjalani latihan untuk program #JuaraParodi. Selepas itu, saya terus bergegas ke Klang untuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2 dari jam 7.00 malam sehingga 7.00 pagi.

"Sepatutnya, Sarah dijadualkan menjalani pembedahan caesarean untuk melahirkan bayi pada pukul 9.00 pagi. Tamat saja penggambaran, saya terus bergegas menempuh kesesakan lalu lintas dari Klang ke hospital yang terletak di Ampang untuk menemani Sarah.

"Nasib saya sangat baik kerana apabila saya sampai, Sarah belum lagi masuk ke dalam dewan pembedahan. Akhirnya, Sarah masuk ke dewan pembedahan pada jam 12.00 tengah hari dan melahirkan anak pada jam 12.27 tengah hari. Alhamdulillah," kata Shuib kepada Portal Murai.

Walaupun melalui hari yang sibuk dan memenatkan, Shuib bersyukur kerana Sarah selamat melahirkan anak ketiga mereka.

"Sejurus selepas saya menemani Sarah, saya tidur pada jam 2.30 petang dan bangun semula pada jam 4.00 petang. Selepas itu, saya terus bergegas semula ke Shah Alam untuk menjalani latihan akhir bagi #JuaraParodi.

"Selepas ini pula, saya perlu bergegas semula ke set penggambaran filem Abang Long Fadil 2 di Klang. Namun begitu, semua penat saya hilang dan saya sangat bersyukur kerana Sarah selamat melahirkan anak ketiga kami," kata Shuib yang ditemui selepas tamat program #JuaraParodi.

Untuk rekod, Shuib telah berkahwin dengan Sarah pada tahun 2011 dan sebelum ini, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni dan Dzahira Talita Zahra.

Dalam program #JuaraParodi, Shuib berpasangan dengan penyanyi Mark Adam dan mereka menamakan kumpulan mereka sebagai Slumber Blur. Di minggu ketiga, Slumber Blur berjaya mendapat tempat ketiga daripada 10 kumpulan.

"Saya sendiri tak sangka berjaya mendapat tempat ketiga kerana sebelum persembahan bermula, saya telah melalui pelbagai peristiwa. Saya sangat bersyukur kerana persembahan kumpulan kami berjaya diterima oleh semua pihak," kata Shuib lagi.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki akan bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.


sumber

No comments:

Post a Comment