19 July 2016

Keliru: Puasa Enam Atau Puasa Ganti Dulu?



Biasanya selepas daripada berpuasa di bulan Ramadan, kita akan berpuasa pula enam hari di bulan Syawal. Sebagai orang perempuan, saya selalu keliru sama ada hendak berpuasa enam hari di bulan Syawal dahulu atau menggantikan puasa yang saya tinggal kerana datang bulan. Mohon panduan dari Ustaz.

JAWAPAN :
Memang benar, antara perkara yang sangat ditekankan oleh Nabi s.a.w dalam bulan Syawal ialah berpuasa enam hari kerana ganjaran yang sangat besar.
“Barangs iapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan, kemudian mengikutinya dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, pahalanya seolah-olah dia berpuasa selama setahun” (Al-Hadis).

Isunya sekarang, ada yang keliru mana yang perlu didahulukan sama ada ganti puasa atau puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Pada pendapat saya, boleh dimulakan mana-mana saja terlebih dahulu. Tetapi perlu diingat bahawa puasa ganti itu hukumnya wajib dan puasa enam hari dalam bulan Syawal itu adalah sunat. Jadi apabila satu perkara wajib bertembung dengan satu perkara sunat, maka lebih afdal didahulukan perkara yang wajib.

Dalam hal ini, sangat baik jika Puan menggantikan dahulu puasa yang tertinggal kerana keuzuran sebelum memulakan puasa yang sunat. Ini kerana sangat besar tanggungjawab di hadapan Allah SWT nanti apabila kita tidak menyelesaikan kewajiban yang telah difardukan ke atas kita.

Ada juga orang yang berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal dan digabungkan niatnya dengan puasa ganti. Walaupun ada sesetengah ulama yang mengharuskan, tetapi ia perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana dua puasa ini adalah berlainan jenis. Sudah tentu ia mengandungi perbezaan yang ketara dari sudut pelaksanaannya. Jadi, saya juga berpendapat, tidak boleh digabungkan antara puasa wajib dan puasa sunat.

No comments:

Post a Comment