5 August 2016

Adab Berbicara dengan Hemah


Setiap perbicaraan dan tutur kata yang keluar dari mulut seseorang melambangkan sifat keperibadian individu tersebut. Berbicara sesuatu yang perlu adalah lebih baik daripada bercakap banyak tetapi menabung dosa. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

1-      Hindari Keburukan
Elakkan diri anda berkata sesuatu yang tiada kena mengena dengan diri sendiri. Ini bermakna, anda dilarang sama sekali mengumpat atau mengata perihal orang lain kerana ia tidak menjamin anda selamat daripada dosa.

2-      Tiada Punca
Sebelum berkata sesuatu,  seelok-eloknya anda siasat dan cari dahulu puncanya kerana ditakuti berita yang dibawa tidak benar. Bukan sahaja anda menyebabkan orang lain tertipu, malah anda juga memalukan diri sendiri.

3-      Kebolehan anda
Anda sendiri tahu tahap pemikiran anda sekali gus menentukan dengan siapa anda perlu berdebat. Jangan pula anda berhujah dengan mereka yang cendekiawan sedangkan ilmu anda lebih rendah daripada mereka. Sudah tentu kata-kata anda tidak akan dihiraukan walau sepatah pun.

4-      Sampaikan Kebenaran
Jangan sesekali anda menokok tambah sesuatu hal kepada rakan anda yang tidak hadir ketika sesi kuliah. Ilmu yang tidak benar boleh menjurus kepada kesan yang tidak baik pada jiwa. Oleh itu, hindari sikap buruk itu dan beritahu perkara yang perlu sahaja kepada rakan.

5-      Fikir Dahulu
Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘berfikir itu pelita hati’. Oleh itu, fikir dahulu sedalam-dalamnya sebelum anda mengutarakan sebarang pendapat. Ditambah pula sekarang ini terlalu banyak laman sosial yang boleh menimbulkan kekecohan dan salah faham waima dengan satu ayat sekali pun.

6-      Ayat-Ayat Manis
Kata-kata yang lembut dan manis bukan bermakna untuk memasang jerat. Para ilmuwan sendiri menggunakan ayat-ayat manis untuk menarik minat pendengar memahami ajaran Islam. Perkataan yang kotor langsung tidak melambangkan peribadi seorang umat Islam.

7-      Karya Membina
Jika kata-kata anda hanyalah untuk menyakitkan hati orang lain dan penuh dengan celaan, maka bertaubatlah sebelum terlambat.

1 comment:

  1. bila kita beradab ketika berbicara org pun suka berkawan dgn kita

    ReplyDelete