GEORGETOWN - Sentiasa dipenuhi pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat, selain menjadi tempat pilihan pelancong asing untuk menjamu selera.
Itu yang dapat dilihat di Restoran Nasi Padang Minang yang terletak di Jalan Tranfer, di sini.
Setiap hari menjelang waktu makan tengah hari, kedai berkenaan sentiasa sesak dengan kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus sehingga waktu petang.
Dengan pelbagai hidangan masakan kampung dan aneka ulam-ulaman disediakan, ditambah pula dengan pelbagai pilihan minuman menjadikan restoran itu serba lengkap untuk menjamu selera.
Lebih menarik, restoran itu diusahakan peniaga Melayu, manakala pemilik kedai berkenaan adalah peniaga Cina yang turut mengusahakan perniagaan minuman dalam restoran yang sama.
Sudah pasti suasana harmoni dapat dirasakan apabila berkunjung dan menjamu selera di restoran tersebut.
Pemiliknya, Teoh Teik Ket, 70, berkata, bapanya, Teoh Kah Joo mengusahakan kedai berkenaan sejak 1951 bersama seorang peniaga Melayu yang dikenali sebagai Abdul Rahman.
Menurutnya, sebelum ini bapanya pernah menjual masakan lain di kedai tersebut, namun perniagaan tidak begitu menjadi tetapi selepas bekerjasama dengan Abdul Rahman, restoran mereka sering menjadi tumpuan orang ramai.
“Pada permulaannya memang agak janggal, namun lama-kelamaan masyarakat di sini dapat menerima perniagaan kami dan mendapat sambutan menggalakkan.
“Seronok bila pelbagai lapisan kaum berkumpul di sini dan menikmati pelbagai hidangan disediakan," katanya yang baru tiga tahun mengambil alih perniagaan berkenaan daripada adik-beradiknya yang lain.
Pelanggan pelbagai kaum yakin menjamu selera
Teik Ket berkata, dengan kehadiran pelanggan daripada pelbagai latar belakang dan lapisan kaum, memberi peluang kepadanya untuk berkongsi cerita dan melihat pelbagai ragam manusia.
Sementara itu, pewaris masakan nasi padang minang, Zulkiffli Alias, 39, berkata, hubungan baik keluarganya sejak dahulu lagi membuatkan perniagaan mereka bertahan sehingga hari ini.
Katanya, walaupun terkadang terdapat perselisihan pendapat dalam urusan perniagaan, namun semua masalah yang timbul diselesaikan dengan baik.
“Sudah pasti dalam perniagaan ada cabaran tersendiri, tambahan pula kami berkongsi kedai dengan peniaga berlainan bangsa.
“Bagaimanapun, segala persepsi negatif dapat diatasi dengan baik dan pelanggan yakin untuk menikmati hidangan dan minuman di restoran kami tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Pelancong kagum
Menceritakan pengalamannya sepanjang berniaga di situ, Zulkiffli yang juga cucu kepada Abdul Rahman berkata, ada dalam kalangan pelanggan yang pada mulanya takut untuk masuk ke kedai berkenaan.
Namun jelasnya, selepas mereka mendapati kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, perasaan ragu-ragu itu terus hilang.
“Ramai pelancong luar yang suka datang ke sini. Mereka kagum dengan hubungan mesra masyarakat kita walaupun berbeza warna kulit,” katanya.
Sementara itu, pelanggan, M Ramasamy, 59, dari Ipoh, Perak, berkata, restoran itu menjadi pilihannya setiap kali berkunjung ke Pulau Pinang untuk menikmati hidangan tengah hari.
Tambahnya, dia yang kali kedua datang ke kedai tersebut, berasa selesa dengan suasana di restoran berkenaan walaupun selalu sesak dengan orang ramai.
baguskan macam ni...barulah rasa harmoni kedai tu...
ReplyDelete