14 September 2016

8 ‘Jangan’ Apabila Anda Berbual Dengan Wanita Yang Sudah Berkahwin


Aku dah kahwin hampir 3 tahun. Masih belum dikurniakan rezeki anak. Jujurnya aku sangat bahagia bersama suami yang cukup memahami. Tapi tekanan dari masyarakat sekeliling kadang kadang menggoyahkan ketenangan rumahtangga kami. Ya. Memang tidak aku nafikan keinginan memiliki anak membuak buak dalam diri aku dan suami. Tapi kami mampu hadapi semua tekanan dari dalam diri kami. Tapi tekanan dari orang lain? 

Itulah perkara yang hampir setiap hari kalau aku fikir, seolah olah aku menghumbankan diri aku dalam lautan tekanan yang maha dasyat. Soalan lazim. “Berapa orang dah anak?”, ” tidak mengandung lagi?”, “kau bila nak dukung baby sendiri?”, ” tak pergi berubat ke?” dan banyak lagi. Memang bagi orang yang dah berderet anak atau yang senang dapat anak akan anggap soalan biasa je. Takkan tu pun nak sentap?

Bermula tahun kedua usia perkahwinan aku, berita yang paling mengerikan bagi aku adalah apabila mendengar sahabat atau saudara mara yang berkahwin lewat daripada aku, mengandung. Soalan yang paling menakutkan bila berkait soal anak. Berbagai jenis tujuan dan niat yang kadang kadang boleh aku baca dan tidak kurang buat aku keliru daripada soalan mereka yang suka bertanya tentang anak ni. Ada yang bertujuan sekadar ingin tahu, ada yang memang nak tahu, ada yang menjadikan soalan berkaitan anak hanya sebagai modal untuk bersembang, ada yang sinis, dan macam macam yang aku tak mampu nak rungkai.

Dan aku sangat berharap agar insan insan yang selalu bertanya atau berhadapan dengan mereka yang lambat dikurniakan zuriat ini membaca poin poin yang aku catatkan di bawah ini. Sudah lama aku ingin luah pada mereka yang berkenaan sehingga kadang kadang aku terfikir untuk membuat pengucapan awam agar mereka dapat lebih memahami perasaan golongan macam aku.

Jika anda ada saudara mara terdekat dan rakan rakan yang mempunyai masalah lambat dapat zuriat, aku merayu…

1. Jangan tanya soalan berkaitan anak di hadapan orang lain. Aku faham kadang-kadang ramai yang bertujuan baik. Ingin tahu keadaan kita. Jujurnya, walaupun aku stress kalau orang tanya tentang anak, tapi aku rasa tenang jika kau tanya aku semasa hanya kita berdua waktu tu. Tak kisah kau saudara mara atau kawan sekerja aku. Bila berada di situasi tu, aku rasa kau memang ikhlas nak tahu tentang aku.

2. Jangan sesekali tanya soalan “tak berubat ke?”. Tolong jangan. Soalan kau mampu mewujudkan luka yang sangat parah. Dan jika insan yang kau tanya tu agak lemah dalam mengawal tekanan, kau akan menjadi punca pergaduhan dalam rumahtangga mereka. Kerana hal kesihatan hanya mereka suami isteri yang tahu. Hal kesihatan mampu membuatkan pasangan tersebut saling menyalahkan antara satu sama lain. Kau tidak akan pernah rasa perasaan mereka yang menanggung malu, ke hospital membuat pemeriksaan kesihatan berkaitan kesuburan. 

Bukan sekali, bukan dua kali. Tapi berkali kali bersemuka dengan pegawai kesihatan yang akan mengorek semua rahsia intim rumahtangga untuk mengaitkan punca kesuburan kau. Merelakan apa sahaja rawatan atau pemeriksaan yang diperlukan yang sebahagian besarnya tertumpu kepada bahagian sulit. Kau tidak akan mampu membayangkan kemurungan yang kami lalui akibat rasa malu dan takut.

3. Jangan syorkan sebarang rawatan di hadapan orang ramai. Kenapa tidak kau ambik insiatif berhadapan dengan mereka yang lambat dapat ini secara berdua jika betul kau ikhlas hendak tolong? Kenapa mesti di tengah2 rakan sekerja kau tanya “kau taknak berurut ke? Ada tukang urut kat rumah aku boleh urut orang yang susah dapat anak..”. Dan aku perasan waktu tu semua mata mereka yang tengah bersembang tertumpu pada aku. Sahabat, semoga kau diberi kelembutan hati untuk memahami insan macam aku.

4. Insan macam aku sangat seronok jika ada kawan atau saudara mara yang cadangkan apa apa rawatan untuk masalah kami. Tidak kira dari segi ubatan, urutan dan sebagainya. Sebab apa? Sebab kami malu nak tanya. Keyakinan diri kami bila diajak berbual tenyang masalah ni sangat rendah. Kami rendah diri. Tolong dekati kami. Bagi kami cadangan atau nasihat. Bukan di hadapan orang. Hanya kami. Ya. Hanya kamu dan kami suami isteri.

5. Jangan anggap kami selesa dengan kedudukan kami sekarang. Kerana kamu tengok kami bercuti, bergelak ketawa apabila berkumpul ramai ramai, sentiasa ceria, jangan kau fikir kami tidak endahkan masalah yang dihadapi. Aku selalu didatangi ayat ” relax je tengok kau. Kau tak bimbang ke dah 3 tahun kahwin masih tak mengandung?”. Sayang, ni je cara kami nak pudarkan tekanan. Tolong jangan lukai kami. Kerana kau tidak pernah rasa apa yang kami rasa seperti yang aku tulis dalam poin nombor 2.

6. Jangan sesekali bandingkan hidup aku dengan engkau. Jangan sesekali kau berkata “Best la kau tak ada anak. Tak ada komitmen”. ” Best la kau dapat bercuti berdua. Honeymoon je memanjang”. “Best la kau dapat pakai kereta besar. Ye la tak ada tanggungan lagi”. Sahabat, kalau kita bertukar situasi, kau rasa kau sanggup nak hadapi apa yang aku lalui?

7. Jangan anggap kami tempat untuk menghumbankan semua tugas hanya kerana kami tidak ada komitmen anak kecil. Jika kau rakan sekerja, jangan bagi tugas yang tidak mampu kau bereskan kepada mereka yang tidak ada anak dengan alasan dia tidak ada anak. Jika kau ipar duai atau mertua jangan biarkan mereka bertungkus lumus di dapur seorang diri menyiapkan semua kerja dengan alasan kau ada anak kecil. Dia tidak ada anak. Biar dia buat. Ya, kau boleh mintak tolong dengan mereka tapi jangan sesekali gunakan alasan anak.

8. Jangan takut untuk bagitahu kalau kau mengandung. Ya aku akui itu berita yang mengerikan. Tapi membiarkan aku tahu berita kehamilan kau dari orang lain suatu yang sangat melukakan. Terutama jika kau sahabat atau saudara terdekat aku. Jangan takut. Tolong bagitahu aku. Cukup sekadar mesej. Memang aku tidak seronok mendengar tapi aku juga bukanlah perempuan sihir yang akan mendoakan yang tidak baik untuk kandungan kau. Bayangkan apa yang aku rasa jika adik beradik berkumpul, tiba tiba salah seorang dari kau berkata “kuat ke wani(adik ipar) alahan?” dan yang lain pulak menjawab “kuat jugak”. 

Dan yang lain lain pulak mula bersembang perihal si wani yang baru mengandung. Dan aku masih berteka teki dengan hati yang lara “bila pulak wani mengandung? Kenapa semua dah tahu? Kenapa aku seorang tak tahu?”. Oh, mungkin niat korang betul. Tak nak lukakan aku dengan berita kehamilan orang lain. Tapi aku? Terus terluka dan kadang kadang meluahkan marah aku pada suami dengan harapan akan hilang semua kekusutan dalam hati yang kau timbulkan sebentar tadi.

Aku harap sangat semua poin poin di atas dapat dibaca oleh masyarakat yang terlalu ambil berat dengan mereka yang lambat dikurniakan zuriat. Aku pernah baca nasihat dari seseorang. Jangan sesekali meluahkan masalah pada orang lain. Selagi kau mampu tanggung, tanggunglah. Sebab mereka yang mendengar masalah kau 80% tidak kisah penderitaan kau, 10% simpati dan 10% bertepuk tangan sebab mengharapkan kau derita. Aku harap cukuplah kalian dalam golongan 10% yang bersimpati. Terima kasih sudi membaca.

6 comments:

  1. suka tak suka, itulah yang orang akan suka tanya. hoho

    ReplyDelete
  2. Singgah sambil tinggalkan jejak.. :)
    yea...betul semua tuh... #hanyayangrasasahajamemahaminya

    ReplyDelete
  3. hakikat yang cuma orang yang mengalami je yg tau.. kalau tak tulis orang tak tau dik... akak pun alami benda sama untuk point no 8.. akak tak beritau family bila ngandung sbb ada adik yg masih menunggu rezeki untuk mengandung sbb taknak mereka rasa down.. mmg boleh nmpk muka kecewa tu bila beritau masa kandungan dulu..so ambik pengajaran... dan akak dpt rasakan org tu ada niat yg baik cuma diburukan oleh situasi orang keliling.. doa akak moga yaya dan suami beroleh cahayamata yang diimpi oleh semua pasangan yang berkahwin... insyAllah... semoga terus kuat dan tabah..

    ReplyDelete
  4. entah.. tak paham dengan orang yang suka kepho. kalau rezeki lmbt nk buat cam mane. orang bnyk tny ni elok tny dia bila nk mati je sng. mcm dia tu tahu segala hal. aiihhh

    ReplyDelete
  5. Betul semua tu.. Akak sebelum dapat putera kenit ni, 5 tahun menanti yaya.. Kita dgn suami okay je.. Tp tekanan dari orang sekeliling tu yang teruk. 5 tahun makan hati berulam jantung setiap kali jumpa sedara mara.. Soalan2 berkaitan anak ni janganlah disebut pd pasangan yang belum ada rezeki mendapatnya. Tambah2 yang dah lama berumahtangga. Tuhan je tau perasaannya bila ada yg cakap kakak mandul dulu.. Rabak, sedih, hampa, kecewa semua ada.. Pernah sampai rasa putus asa dah.. Huhu~

    ReplyDelete