20 September 2016

Luahan Hati Bekas Tentera

“Jadikanlah hidup saya sebagai iktibar,” kata bekas anggota tentera yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 50, yang hidup sebagai gelandangan sejak lebih setahun lalu di Taman Tasik Seremban.

Kehidupan Khairul mula berubah sejak berpisah dengan isterinya akibat masalah kewangan, sekali gus menyebabkan lelaki itu memilih parkir berdekatan tasik sebagai tempat berteduh.

Katanya, biarpun mempunyai pekerjaan dan sebuah kereta, dia tidak mampu mencari rumah sewa memetik Harian Metro


“Saya sudah biasa hidup begini dan tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dalam tentera saya berkhidmat selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan.

“Rumah tangga saya musnah akibat masalah kewangan dan tiada jalan lain selain terpaksa melepaskan isteri.

“Pelbagai pekerjaan saya lakukan untuk mencari sesuap nasi hinggalah bekerja sebagai buruh,” katanya yang enggan memberitahu jenis pekerjaan dan keluarganya.

Menjadi antara gelandangan yang memiliki kenderaan, dia berkata lebih selesa dan tidak perlu memikirkan masalah sewa rumah dan bayaran pelbagai bil.

“Saya tidak perlu bersusah payah dan kalau lapar, saya hanya singgah mana-mana kedai untuk alas perut. Gaji saya peroleh cukup untuk diri saya dan mengisi petrol untuk ke tempat kerja.

“Buat masa sekarang saya lebih selesa hidup begini dan malas untuk memikirkan masalah keluarga. Terima kasih kerana memberikan saya dan rakan makanan serta pakaian.

“Saya amat terharu dengan sumbangan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) hampir setiap minggu,” katanya merujuk kepada sumbangan makanan kepada gelandangan dikendalikan sukarelawan Food Not Bombs (FNB) Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa FNB Mujahid Murizan Mohamad berkata, setiap minggu mereka mengadakan aktiviti memberi sumbangan berupa makanan dan pakaian kepada gelandangan di sekitar Seremban.

“Niat kami ikhlas untuk membantu mereka tanpa mengira status bangsa dan agama. Kami (FNB) baru empat bulan ditubuhkan dan selain mengedarkan makanan kepada gelandangan, kami juga membantu keluarga asnaf yang memerlukan bantuan.

“Setakat ini, FNB bergerak hasil sumbangan ahli dan juga syarikat menaja makanan malah ada individu menyumbang pakaian terpakai.

“Pakaian terpakai kami terima cukup banyak malah terpaksa menjualnya untuk mencari dana bagi menampung perbelanjaan untuk gelandangan,” katanya. - sumber




5 comments:

  1. Allahu, semoga dia dilindungi .

    ReplyDelete
  2. Semoga dipermudahkan urusan pokcik nih ...

    ReplyDelete
  3. Sedih pulak baca.. Semoga diri pkcik Khairul sentiasa dilindungi..

    ReplyDelete
  4. semoga dimudahkan urusan beliau

    ReplyDelete
  5. Aduhai...
    Moga Allah permudahkan la si dia ini.
    Berat mata memandang, berat lg beban yg dia pikul...

    ReplyDelete