15 March 2016

Hasrat Meminang Tidak Kesampaian

Kota Bharu: "Arwah sempat berhubung dengan adiknya pada pagi hari kejadian dan meminta sampaikan maaf kepada semua orang dan memberitahu dia mungkin pergi tak kembali," kata Saria Rahimsa, 49 ibu kepada Shahril Afizat Mohamad, 22, anggota tentera yang maut dalam kejadian trak tentera terbalik di Ranau, Sabah pagi pada 13 Mac 2016 yang lalu.

Saria berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu menghubungi adiknya, Shahril Shariman,18, pada 4 pagi.

Katanya, arwah sempat pulang bercuti selama seminggu yang menjadi kepulangan terakhir arwah selepas dua tahun tidak pulang kerana ditugaskan di Sabah.

“Arwah kembali ke Sabah pada 11 Januari lalu dan kali terakhir berbual di telefon bersama saya pada Jumaat lalu. Ketika bercuti mencuci tiga keping gambar terbarunya dengan saiz besar yang digantung di dalam rumah.

"Arwah juga sempat memberitahu nak masukkan duit untuk belanja Ramadan nanti, selain meminta saya masuk meminang seseorang dan menyatakan hasrat untuk berkahwin namun semuanya tidak kesampaian," katanya.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya pada jam 5.30 petang selepas pulang daripada kenduri di Kampung Gunung, Bachok.

"Saya berdebar apabila tiba di rumah lihat ramai orang dan hampir pengsan sebaik mengetahui berita kematian anak saya itu," katanya.

Menurutnya, anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Raja, Melor dan jenazah tiba 5 petang semalam. 

Sumber : Metro


7 comments: