8 June 2016

KOR ARMOR DIRAJA


Kali ni nak update pasal salah satu unit yang ada di dalam Tentera Darat Malaysia iaitu KOR ARMOR DIRAJA

Kor Armor DiRaja Tentera Darat Malaysia mempunyai sejarah penubuhan sebagai dua unit berasingan dalam pasukan Tentera Persekutuan. Unit pertama adalah merupakan unit kenderaan berperisai yang pada asalnya adalah merupakan sebuah skuadron yang dikenali sebagai ‘Federation Armoured Car Squadron’ atau Skuadron Kenderaan Berperisai Persekutuan.

Ia ditubuhkan pada 1 September 1952. Pada masa sama sebuah rejimen infantri yang berasingan turut ditubuhkan dengan nama rejimen Persekutuan. Berbeza dengan unit infantri tempatan seperti Askar melayu DiRaja, rejimen Persekutuan merekrut anggotanya dari kalangan semua kaum dan keturunan yang wujud di Malaya ketika itu. Pada asalnya pihak British bercadang untuk menubuhkan sehingga tiga buah Rejimen Persekutuan, namun atas sebab kurangnya minat yang ditunjukkan oleh bangsa lain selain dari bangsa Melayu untuk menyertai unit ini, akhirnya hanya satu batalion berjaya diwujudkan dengan keanggotaan yang secukupnya.

Pada tahun 1957 pula, Skuadron Kenderaan Berperisai Persekutuan ini telah diperbesarkan menjadi sebuah rejimen dan untuk memantapkan lagi kemampuan operasinya pada tahun 1960 ia telah digabungkan dengan rejimen Persekutuan lalu melahirkan sebuah Kor Peninjau.

Unit-unit pertama yang berada dibawak Kor peninjau adalah Rejimen Pertama dan Rejimen Kedua Kor Peninjau Persekutuan yang lebih dikenali dengan akronim 1 Recce dan 2 Recce (1 dan 2 Peninjau Persekutuan). Kedua-dua unit ini mengoperasikan sistem kenderaan Ferret sebagai kenderaan berperisai utamanya dan pernah dihantar ke Kongo sebagai sebahagian dari kontijen Malayan Special Force dibawah kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antara tahun 1960 dan 1962. Pada 20 Mei 1972 Kor Peninjau ini telah dianugerahkan gelaran ‘Diraja’ dan secara automatik nama unit ini dikenali semula sebagai Kor Peninjau Diraja. Pada 22 Disember 1979 menyaksikan sekali lagi nama unit tersebut diubah kepada Kor Kavalri Diraja bersesuaian dengan pelbagai jenis kelengkapan dan kenderaan tempur baru yang diterima oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika itu. Ini termasuklah kenderaan seperti SIBMAS dan juga CONDOR yang telah mempertingkatkan kemampuan daya mobiliti tinggi serta kuasa tembakan kepada TDM.

Pada 1986 evolusi Kor ini terus berlaku dengan penukaran nama sebagai Kor Armor Diraja. Status Kor Armor Diraja dilihat sebagai bersesuaian ketika itu kerana buat pertama kalinya Kor tersebut telah memiliki sistem kenderaan berunut dengan sistem meriam berkaliber 90mm yang sebelum ini tidak pernah wujud dalam perkhidmatannya. Ini berikutan perolehan sejumlah 26 buah kenderaan SCORPION dari United Kingdom pada 1983. Perolehan ini sebenarnya bukanlah bermakna bahawa Kor Armor Diraja ketika itu telah memiliki sejenis kereta kebal utama atau MBT (Main Battle Tank) dalam perkhidmatannya, namun ia mungkin sebagai langkah awal untuk memberikan pendedahan kepada anggota-anggotanya mengenai teknik dan taktik pengoperasian sebuah kereta kebal atau kenderaan yang memiliki sifat yang paling hampir kepada sifat sebuah kereta kebal utama, iaitu sebuah kenderaan berarmor, daya mobiliti yang agak baik dengan sistem pendorongan berunut serta memiliki turet yang dipasangkan dengan sistem meriam. 

Untuk memberikan sokongan kepada pengoperasian SCORPION AC 90, TDM turut membuat perolehan sebanyak 25 buah kenderaan STORMER yang merupakan kenderaan berperisai pengangkut infantri yang berunut. Kenderaan STORMER ini adalah merupakan versi pertama yang dihasilkan oleh firma GKN dan merupakan kesinambungan dari reka bentuk sistem kenderaan SCORPION, malah sebahagian besar dari komponen kedua-dua kenderaan adalah sama.




Pemilihan sistem kenderaan SCORPION adalah sesuatu yang dianggap bernas. Walaupun bukanlah sebuah kereta kebal utama, ia mempunyai rekod penggunaan oleh Britain dan negara-negara lain secara meluas. Ia juga telah terbukti berkesan ketika kempen Perang Falklands pada 1982 apabila dioperasikan oleh pasukan Royal Horse Guards serta 1 Dragoons. Sejak dari awal pembangunan program tersebut, kenderaan SCORPION direkabentuk sebagai sebuah kenderaan peninjau berperisai yang boleh diatur gerak dengan lintasan udara. Program ini dikenali sebagai CVR(T) bagi menggantikan kenderaan berperisai beroda Saladin. Prototaip kenderaan pertama berjaya diuji pada 1969 dan penyerahan dilakukan pada 1972 dan pihak tentera darat British telah menerima kenderaan pertama mereka pada 1973.

Ketika ini Kor Armor DiRaja mempunyai 5 rejimen yang dilengkapkan dengan kenderaan pengangkut anggota berperisai (APC), kenderaan tempur infantri (IFV), kenderaan tempur berperisai (ACV) dan juga dengan kereta kebal ringan jenis Alvis Scorpion.

Rejimen Armor mempunyai 3 skuadron tempur, 1 skuadron markas dan 1 skuadron bantuan. Rejimen Armor biasanya diperintah oleh pegawai berpangkat Leftenan Kolonel
Skuadron diperintah oleh seorang Mejar ataupun Kapten dan boleh dipecahkan menjadi Terup. Satu Skuadron Armor mempunyai 3 terup tempur, 1 terup markas dan 1 terup bantuan. Terup biasanya dipimpin oleh seorang Leftenan ataupun Leftenan Muda.

Skuadron Armor (Para)

Skuadron Armor (Para) adalah pasukan khusus Kor Armor DiRaja yang dijadikan komponen tetap Pasukan Atur Cepat (PAC) Malaysia. Kesemua anggota Skuadron Armor (Para) telah mendapat sayap penerjunan para.
Skuadron Armor (Para) telah ditubuhkan pada 12 September 1992 untuk melengkapkan keperluan Pasukan Atur Cepat Malaysia yang berpusar dengan 10 Briged Para. Skuadron Armor (Para) dilengkapkan dengan kereta kebal ringan jensi Alvis Scorpion 90 yang dilengkapkan dengan meriam 90 mm buatan Cockerill.


Skuadron Istiadat Berkuda

Skuadron]] Istiadat Berkuda telah dirasmikan penubuhannya pada [13 Mei]] 1997 untuk mengadakan kawalan istiadat di Istana Negara dan untuk membuat Iringan Istiadat dalam majlis-majlis rasmi melibatkan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Malaysia.


Pusat Latihan Peperangan Armor

Pusat Latihan Peperangan Armor berpusat di Kem Sebatang Karah, Port Dickson. Pertukaran pegawai dibuat dengan negara-negara sahabat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Perancis, India dan Pakistan.


Tugas Kor Armor Diraja semasa aman:

1. Tugas-tugas istiadat
2. Pengiring Diraja ( Sovereign Escort )
3. Pengawal Tombak ( Lance Guard )
4. Pengawal Istiadat Berkuda
5. Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja
6. Operasi Pengiring Berperisai
7. Tinjauan
8. Mencegah Rusuhan Dan Kekacauan
9. Operasi-operasi Ketenteraman Awam




3 comments:

  1. info baru bg saya...sebb xpernah tau pun psl dlmn tentera ni

    ReplyDelete
  2. walaupun bos dari Army, banyak benda yang akak tak tahu pun.

    ReplyDelete