26 June 2016

Serang Hendap di Sungai Semur



Peristiwa yang berlaku pada 25 Mac 1950 ini menggambarkan semangat juang anggota Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terus bertarung walaupun berada dalam keadaan yang sangat-sangat genting. Didalam serang hendap oleh pengganas komunis ini, dianggarkan seramai 250 orang pengganas menyerang satu platun RAMD berkekuatan hanya 25 orang anggota.

Pada awal bulan Mac 1950, Kompeni D, Batalion 3 RAMD yang berpengkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan telah menjalankan satu gerakan "search and destroy" berhampiran dengan Gua Musang, di Hulu Kelantan. Penempatan kompeni adalah seperti berikut:

 Pada 23 Mac 1950, jam 0730, Platun 12, Kompeni D berkekuatan seramai 25 anggota yang terdiri dari 1 x pegawai (Lt. Muda Hassan Yassin), 1 x Koperal (Jamaludin Mohamad), 4 x Lans Koperal dan 19 perajurit ditugaskan untuk membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari. Platun ini juga diekori oleh sekumpulan 15 anggota Special Constable (SC) yang ditugaskan untuk mengiringi 17 orang Cina untuk mengambil atap daun nipah diperjalanan. Pada waktu tengahari, mereka berhenti untuk berehat dan berkhemah berhampiran Sungai Semur.

Keesokan harinya, Platun 12 bergerak meninggalkan pasukan SC dan orang-orang Cina yang hendak mengambil atap itu. Mereka meneruskan rondaan di Sungai Nenggiri dan berhenti untuk makan tengahari pada jam 1400. Semasa makan, Lt. Muda Hassan telah memberi arahan untuk berpatah balik kelokasi kumpulan SC dan pencari atap Cina itu tadi kerana bekalan makanan yang dibawa tidak mencukupi untuk tugas seterusnya. Mereka bergerak pada jam 1530 dan sampai di lokasi tersebut pada jam 1800. Sejurus sampai, Sarjan Wan Yaakob yang mengetuai kumpulan SC memaklumkan bahawa mereka akan bergerak balik ke Pengkalan Pulai pada jam 0800 pagi esoknya. Platun 12, seterusnya bermalam disitu.

Pada esok harinya, 25 Mac 1950 kira-kira jam 1000 pagi, Lt. M Hassan dan platunnya telah bersiap sedia untuk bergerak, tetapi kumpulan SC dan Cina pengambil atap masih tidak sedia lagi untuk bergerak. Kerana itu mereka bercadang untuk bergerak berasingan. Platun 12 kemudian bergerak meninggalkan mereka. Setelah menyusuri Sungai Semur selama setengah jam, pada kira-kira jam 1030 platun ini telah melalui satu kawasan cerun bukit di seberang sungai.

Ketika melalui kawasan inilah mereka diserang hendap oleh pengganas komunis yang berada dirusuk kiri mereka, dan kemudiannya diikuti oleh serangan dari arah belakang mereka. Dalam beberapa saat sahaja hampir kesemua anggota Platun 12 tercedera atau terbunuh, termasuk ketua mereka Lt. M Hassan. Seterusnya, Kpl Jamaludin mengambil alih pimpinan Platun 12. 

Beliau mengarahkan serangan balas dengan tembakan mortar 2 inci, bagaimanapun tidak berhasil kerana terhalang oleh banyak pokok buluh yang menutupi kawasan tersebut. Setelah melepaskan 2 butir mortar, anggota seksyen mortar pula terbunuh. Kpl Jamaludin dan beberapa anggota lain yang dapat berlindung cuba merapati tebing dan melontar bom tangan kearah musuh, tetapi tindakan ini gagal kerana mereka juga ditembak dari arah tebing yang bertentangan dan dalam keadaan yang terkepung, amat sukar untuk bergerak dan mengambil posisi menyerang balas.

Dalam pertempuran yang semakin sengit ini beberapa anggota pengganas komunis cuba merapati kedudukan anggota Askar Melayu yang cedera dan terkorban bertujuan untuk merampas senjata mereka, tetapi berjaya dihalang. Pada suatu ketika, empat pengganas komunis yang cuba menghampiri mereka dari arah belakang berjaya ditembak mati oleh Pbt. Abdul Wahab Hamid.

 Beberapa kali pengganas komunis mengarahkan saki-baki anggota Platun 12 untuk menyerah diri - "askar melayu surrender!!!" laungan mereka, tetapi dijawab oleh Kpl. Jamaludin "kami bukan pengecut, kami askar, kami tidak akan serah diri". Namun setelah bertempur selama 4 jam dan kehabisan peluru, saki-baki mereka yang masih hidup telah dikepung dan ditawan. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah anggota pasukan keselamatan telah ditawan oleh gerila komunis.

Mereka telah dibawa ke kem musuh dan dipaksa menyerahkan peralatan mereka. Selepas dua jam didalam tahanan, dan diberi syarahan indoktrinasi serta amaran agar tidak lagi menentang menentang pengganas komunis, tanpa dijangka mereka dilepaskan. Kpl Jamaludin dan anggotanya dihantar kearah Pengkalan Pulai sebelum ditinggalkan separuh jalan. Anggota-anggota yang terselamat itu adalah:

    Kpl Jamaludin Mohamad
    L/Kpl Mohamad Othman
    Pbt Zamzuri Itam Sudin
    Pbt Nordin Md Isa
    Pbt Hussin Mamat
    Pbt Salleh Nahu (Rencana Sinar Harian)
    Pbt Ahmad Mat jam
    Pbt Mohd Shariff Manaf
    Pbt Osman Yaacob meninggal dunia tak lama setelah mereka tiba di Pangkalan Pulai kira-kira jam 2100.

Dua orang lagi anggota yang cedera parah, Pbt Abdul Wahab Hamid dan Pbt Rashid Hassan terpaksa ditinggalkan di lokasi pertempuran bersama-sama 14 lagi mayat mereka yang terkorban. Ini adalah kerana mereka tidak lagi mampu berjalan dan akan melengahkan pergerakan untuk balik ke pengkalan bagi mendapatkan bantuan. (Pasukan bantuan, Platun 11 dan pasukan Polis Jungle Squad, bersama-sama Kpl. Jamaludin  tiba pada 27 Mac 1950, jam 10 pagi untuk menyelamatkan mereka).

Keseluruhannya, 17 anggota Platun 12, 3 RAMD terkorban, menentang musuh yang dianggarkan 250 orang. Lagi enam cedera parah dan dua anggota cedera ringan. Apa yang membanggakan, walaupun anggota Platun 12 "out-numbered", mereka masih mampu memberikan tentangan sengit dan berjaya membunuh 29 anggota pengganas komunis. 

Mayat-mayat mereka ditemui oleh Platun 11 yang membuat pemeriksaan berhampiran kawasan serang hendap tersebut. Dipercayai ramai lagi cedera kerana terdapat banyak kesan darah dilaluan mereka berundur. Musuh dianggarkan berjumlah 250 semasa peristiwa itu berdasarkan saiz kubu yang telah dibina oleh mereka.

Empat tahun kemudian, semasa Operasi Tantanle (Oktober 1954), dalam serang hendap oleh Kompeni Delta, 3 RAMD di Gua Musang, mereka berjaya membunuh 5 pengganas komunis yang pernah terlibat dalam peristiwa Sungai Semur...

1 comment: