5 August 2016

Adab Bersukan Bagi Muslimah


Beriadah sememangnya aktiviti sihat yang disarankan dalam Islam. Malah, dari segi sains sendiri membuktikan senaman seminggu tiga kali dan 30 minit setiap sesi merupakan langkah terbaik untuk kekalkan kesihatan tubuh badan. Amalan ini memang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian kita tetapi jangan disalahgunakan pula.

Caranya perlu bertepatan dengan syariat Islam. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah RA berkata yang bermaksud, "Sesungguhnya aku telah melihat Nabi SAW menutupku dengan kain selendangnya dan (ketika itu) aku sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu." Untuk itu, bersenam dan bersukan juga ada adab-adabnya agar tidak menyalahi peraturan yang telah ditetapkan oleh agama kita.

1-      Niat yang betul – Segala perkara yang kita lakukan perlu dimulakan dengan niat dalam hati. Jika betul niat anda, maka anda sendiri akan mendapat manfaatnya dari Allah SWT tetapi jika sebaliknya, anda sendiri tahu apakah keburukannya. Tentukan niat beriadah untuk menjamin kesihatan dalaman dan fizikal diri.

2-      Menepati syarak – Biarlah sukan yang anda lakukan itu bersesuaian dengan jantina. Seelok-eloknya, kaum hawa melakukan aktiviti sukan di kawasan yang tertutup tanpa dilihat oleh lelaki yang bukan mahram. Selain itu, anda juga akan rasa lebih selesa apabila segala pergerakan tiada batasan kerana dikelilingi oleh gadis-gadis lain.

3-      Menutup aurat – Ini adalah perkara wajib yang perlu diambil berat bukan sahaja ketika bersukan malah untuk perkara lain juga. Contohnya, ketika bermain bola jaring. Jangan pula anda hanya mengenakan seluar pendek dan tidak bertudung semata-mata kerana rimas apabila berpeluh. Biar panas di dunia daripada panas di akhirat yang kita sendiri tidak akan tertanggung azabnya.

4-      Tiada pertaruhan – Setiap aktiviti sukan yang anda sertai perlulah bebas daripada unsur perjudian dan pertaruhan. Itu semua haram di sisi Islam. Kemenangan dan kekalahan merupakan hasil titik peluh dan usaha anda sendiri serta ketentuan dari Ilahi. Jangan hanya kerana wang yang ditabur, anda sudah lupa diri.

5-      Tidak lalai – Acap kali kita melihat di kaca televisyen, permainan berlaku ketika waktu solat terutama waktu maghrib yang sungguh pendek saatnya. Anda mempunyai hak untuk memilih waktu yang sesuai kerana itu sudah menjadi tanggungjawab wajib antara anda dan Yang Maha Pencipta. Solat diutamakan, pasti Dia akan membantu anda ketika sesi permainan nanti.

6-      Tiada percampuran - Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan perlu dielakkan supaya tidak timbul syak wasangka yang negatif. Lebih elok, aktiviti sukan tersebut dilakukan bersama mereka yang sama jantina dengan anda. Bukan sahaja lebih selesa, malah anda sendiri tidak berasa janggal untuk beraksi di gelanggang dan berusaha meraih kemenangan.

3 comments:

  1. Betul, sepatutnya macam tu la..kena tahu adab seorang muslimah

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yang menarik yaya.. Tq sharing.. ^_^

    ReplyDelete