17 August 2016

Bukti Sejarah Yang Hilang : Berakhirnya legasi Kem Majidee


TEPAT jam 6.30 petang, 21 Jun lalu, tiupan trompet mengalunkan lagu ‘The retreat’ menandakan berakhirnya mercu tanda pertahanan negara di selatan tanah air, apabila secara rasminya Kem Majidee Johor Bahru ditutup. Penutupan kem tertua di negara ini yang berusia 74 tahun itu diadakan dengan penuh istiadat ketenteraan, serentak alunan lagu ‘keramat’ itu dimainkan, 
kesemua bendera pasukan diturunkan dan bermulalah perbarisan Paluan Berundur Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja.

Kem Majidee yang terletak di tengah–tengah Bandar Johor Bahru, merupakan kem yang masih utuh bakal diserahkan kepada Syarikat Selia Pantai Sdn Bhd bermula 1 Julai ini untuk pembangunan Kota Southkey.



Sejarah Kem Majidee


Kedudukan kem tersebut di antara Jalan Bakar Batu dan Jalan Tebrau, di tengah-tengah kepesatan pembangunan ibu negeri Johor telah meninggalkan 1,001 kenangan khasnya buat seluruh warga tentera darat. Sejarah penempatan pasukan di Kem Majidee bermula dengan penubuhan pasukan elit Tentera Darat-Rejimen Gerak Khas Malaysia atau dikenali sebagai Pasukan Komando Malaysia seawal 1965.
Menteri Pertahanan ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein mengarahkan sukarelawan dari Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia mengambil bahagian dalam ujian pemilihan.
Pada 25 Februari 1965, satu Latihan Asas Komando diperkenalkan dan dikendalikan oleh 40th British Royal Marines Commando di Kem Majidee. Melalui latihan intensif berkenaan, lahirnya 15 pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang menjadi perintis kepada Pasukan Elit Tentera Darat Rejimen Gerak Khas Malaysia yang sehingga kini digeruni dan dibanggakan oleh tentera darat.


Sejak 1957, lain-lain pasukan yang pernah menduduki Kem Majidee seperti Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja, Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Batalion ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Turut ditempatkan di sana adalah Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja, Depot Peluru dan Letupan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Rejimen 501 Askar Wataniah. Pasukan terakhir menduduki Kem Majidee adalah Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipindahkan ke Kem Bukit Banang, Batu Pahat.


Lima pasukan lain iaitu Batalion pertama Rejimen Renjer Diraja berpindah ke Kem Ulu Tiram termasuk 810 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Trup Semboyan 91 Rejimen Semboyan Diraja, Platun Kor Perkhidmatan Diraja dan Markas Staf Stesen.



No comments:

Post a Comment