3 August 2016

Jangan Tambah Tekanan Lelaki Yang Alami 5 Situasi Ini



Sebagai ketua keluarga, kaum lelaki biasanya dilihat tidak betah untuk meluahkan masalah yang dihadapinya secara terus terang. Sebaliknya, mereka lebih senang untuk menyimpan kesemuanya sendirian, dengan harapan kesemua masalah yang dihadapi mampu diatasi tanpa bantuan mahu pun campur tangan isteri.

Ini nyata berbeza dengan persepsi seorang isteri yang sebolehnya ingin berkongsi semua dugaan perkahwinan bersama.

Ada beberapa situasi yang dilihat sukar untuk dihadapi oleh seorang suami. Namun dengan melontarkan kalimah penuh kasih sayang daripada mulut anda sang isteri, setidak-tidaknya pasangan anda tidak akan terus terbeban dengan masalah yang sedang membelenggu dirinya. Antara keadaan berikut adalah:

1. Suami kehilangan pekerjaan
Suami pulang dari pejabat dengan wajah muram dan kecewa. Rupa-rupanya dia baru saja kehilangan pekerjaan apabila namanya termasuk dalam senarai nama pekerja yang diberhentikan oleh syarikat. Suami kecewa kerana perkara ini seharusnya tidak berlaku, memandangkan anda baru saja menambah bilangan ahli keluarga.

Penyelesaian: Bagi seorang lelaki, pekerjaan merupakan perkara utama dalam hidup mereka. Selain merupakan sumber kewangan untuk menyara keluarga, pekerjaan juga buat lelaki adalah simbol harga dirinya. Kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba pasti akan membuatkan seorang lelaki berasa takut tidak lagi dihormati oleh isteri, keluarga dan juga orang di sekelilingnya. Bangkitkan kembali semangatnya, pilihlah kata-kata yang membuatkan dirinya berasa tidak terancam.

Katakan:
* “Saya akan sentiasa bersama abang.”
* “Abang, saya faham apa yang abang hadapi sekarang. Insya-Allah, akan ada rezeki lain untuk kita.”
 

2. Kurang berjaya berbanding rakan
Selepas bertemu dengan rakan-rakan lama dalam sebuah majlis ‘reunion’ teman sekampus, suami asyik mengeluh. Setelah disiasat, rupanya suami berasa rendah diri kerana kurang berjaya berbanding rakan-rakan lain yang sudah memiliki kereta mewah dan juga rumah besar. Sementara dirinya pula hanya sekadar berkereta kecil dan rumah pula masih menyewa lagi.

Penyelesaiannya: Simbol sebuah kejayaan selalunya dilihat daripada jumlah harta dan juga kejayaan karier. Oleh itu ramai lelaki akan berasa tertekan, malah tidak bererti jika apa yang dimilikinya lebih rendah jika dibandingkan dengan orang di persekitarannya.

Faktor lain yang menimbulkan rasa tertekan adalah keinginan untuk memberi yang terbaik untuk orang-orang yang dikasihi terutama keluarganya. Dalam keadaan ini, suami berasa tidak hebat seperti rakan-rakannya dalam membahagiakan keluarganya. Sebaiknya ketika ini, ucaplah kalimat yang menunjukkan betapa bahagianya anda bersamanya. Kata-kata ini akan membuatkan dirinya lebih bersyukur dengan apa yang ada di depan matanya

Katakan:
 * “Mungkin kawan-kawan abang kerjanya lebih hebat tapi kita tidak kekurangan apa-apa pun.”
 * “Saya tetap bangga dengan apa yang abang ada sekarang.”
 
3. Suami mengalami kerugian besar
Suami mengakui ditipu dan kerugian wang yang besar akibat terlalu mempercayai seorang rakan. Wang yang dipinjamkan itu tidak dikembalikan pada tempoh yang ditetapkan setelah rakan yang dipercayai itu menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Lebih malang lagi, wang tersebut sebenarnya adalah wang simpanan untuk kegunaan pendidikan anak yang bakal memasuki kolej tidak lama lagi. Anda memang tersangat kecewa dengan hal tersebut, namun pada masa yang sama tidak mahu hubungan menjadi keruh kerana perkara ini.

Penyelesaian: Biasanya lelaki lebih banyak menggunakan logik akal dalam membuat keputusan termasuklah dalam menentukan langkah hidup dan kariernya. Jadi bolehkah anda bayangkan betapa kecewanya suami jika ditiup sebegini, sedangkan dirinya sudah melakukan pertimbangan yang sewajarnya? Yang membuatkan dirinya lebih kecewa adalah kerana diperlakukan sebegitu oleh rakannya sendiri.

Oleh sebab kerugian tersebut berpunca daripada dirinya, maka si dia akan berasa sangat bersalah, sekalipun anda tidak berkata sedemikian padanya. Kalimat yang mengatakan bahawa anda akan sama-sama menanggung masalah tersebut akan membuatkan suami berasa lebih lega dan optimis untuk bangkit kembali.

Katakan:
 * “Mari kita sama-sama cari jalan penyelesaiannya.”
 * “Tak mengapa sayang, saya yakin kita akan dapat kumpul kembali wang itu.”
 
4. Suami disahkan tidak subur
Setelah tiga tahun berkahwin dan masih tidak dikurniakan cahaya mata, anda berdua membuat pemeriksaan pakar. Setelah ujian dilakukan, doktor mengesahkan bahawa suami anda tidak subur dan berkemungkinan besar tidak dapat memberikan anda zuriat.

Sejak perkara itu diketahui, suami mula menjauhkan diri daripada anda. Dia menolak langsung cadangan untuk menjalani rawatan kesuburan, agar anda dapat memperoleh cahaya mata.

Penyelesaian: Ketidakmampuan memberikan keturunan pastinya merupakan pukulan yang cukup besar bagi seorang lelaki. Mereka akan berasa hidup tidak bererti kerana tidak dapat membahagiakan pasangannya.
Rasa tertekannya semakin besar apabila keluarga pula sering melontarkan pertanyaan menjurus tentang anak seperti, “bila lagi nak timang anak” atau “siapa yang tidak subur antara kamu berdua” dan sebagainya.

Dalam keadaan sebegini, anda sebagai isteri sebaiknya cuba membuatkan dirinya berasa lebih berharga. Ucapkan kalimat yang menunjukkan anda menerima dirinya seadanya. Hindari daripada bertanya tentang apakah dia berasa sedih atau bertanya sesedih manakah dirinya. Tunda dulu perbincangan tentang kemungkinan mengambil anak angkat atau rawatan kesuburan kerana kedua-dua hal ini akan membuatkan dirinya makin ‘down’.

Katakan:
 * “Pedulikan apa yang orang cakap.”
 * “Apa pun keadaan abang, saya akan tetap bersama abang.”
 
5. Sertakan dengan tindakan

Mengucapkan kata-kata yang memberikan semangat buat suami untuk menghadapi masalahnya, sebenarnya masih belum cukup. Ia harus disertakan dengan tindakan yang konsisten dengan kata-kata semangat anda.

Penyelesaian: Sebagai contoh bila anda berkata, “Abang, saya faham apa yang abang hadapi sekarang. Insya-Allah, akan ada rezeki lain untuk kita”. Setelah suami diberhentikan kerja, maka harus disertai dengan sikap berhemat dan tidak melakukan pembaziran. Sia-sia saja anda meyakinkan suami jika pada saat suami kehilangan kerja dan keadaan kewangan keluarga mendesak, anda membuat pembaziran pula.

Sekiranya ini yang anda lakukan, maka suami akan sukar mempercayai kata-kata anda lagi. Sentuhan juga mampu mengungkapkan perasaan cinta dan sokongan anda, terutama ketika suami tidak mampu berkata apa-apa lagi pada anda. Dakaplah dirinya dan biarkan hatinya tenang. Elakkan dari memaksa suami bercerita kerana ini akan membuatkan dirinya makin tertekan.

No comments:

Post a Comment