3 August 2016

Anda Suka Melawa? Baca Nota Ringkas Ini!



Perempuan memang dikenali dari dahulu lagi sebagai seseorang yang menjaga kecantikan dirinya sendiri. Semua perempuan ingin kelihatan cantik walau pun sesudah kahwin dan beranak cucu.

Namun tidak ada kesalahan di dalam penjagaan penampilan, malahan ini akan membuat seseorang itu kelihatan lebih menarik di mata sosial, asalkan tidak menjolok mata.

Sebaiknya, apabila seorang isteri itu mencantikkan diri mereka, ini adalah untuk suami mereka sendiri. Seorang suami tidak perlu merasa rendah diri sebab tiada siapa yang boleh mengambil isteri mereka, melainkan si suami itu sendiri melakukan sesuatu perkara seperti mengabaikan isteri-isteri mereka. Ini akan membuatkan si isteri terasa yang suami mereka tidak menghargai kecantikan isteri itu.

Jangan pelik ya, sebab perkara seperti ini akan berlaku kepada sesiapa sahaja, apabila seseorang itu kurang mendapat perhatian dari orang yang sepatutnya memberi perhatian, dia akan mula mencari perhatian di tempat lain dengan memasang badan. Orang seperti ini hanya mahukan perhatian dan kemungkinan mencari kasih sayang dari seseorang.

Tambahnya, bagi menghindarkan diri daripada perasaan merendah diri, setiap suami tidaklah boleh memandang rendah terhadap keupayaan isteri-isteri mereka. Suami perlu lebih memberi perhatian tentang kehendak, kemahuan serta keperluan naluri dan sanubari isteri mereka.

Salah Jika Keterlaluan

Menonjolkan kecantikan di luar rumah tanpa persetujuan si suami memanglah keterlaluan dan salah. Semua suami berhak merasa diri mereka tergugat dengan tindakan isteri menayangkan kecantikan mereka di tempat yang salah, terutama sekali di luar rumah. Ini seperti isteri tersebut mempunyai agenda tersendiri. Seorang suami akan membuat andaian dan gambaran tersendiri. Sering kali gambaran negatif dan salah anggap.

Sikap isteri macam ini juga akan membuatkan suami mungkin akan rasa tercabar dan terancam, ada perasaan syak wasangka dan curiga tentang tujuan isteri sebenarnya. malah banyak perasaan negatif akan timbul termasuklah perasaan cemburu dan pelbagai tanda tanya tentang tujuan dan motif seorang isteri bertindak begitu.

Selain itu, si suami akan banyak bertanya soalan-soalan dan ini akan menimbulkan perasaan tidak senang kepada kedua-dua belah pihak. Jika persoalan yang ditujukan dan tidak mendapat jawapan yang memuaskan kemungkinan akan meledakkan dan ‘meletupnya’ sesuatu perbalahan serta ketegangan suasana. Suami pula akan meletakkan perasaan cemburu yang agak tinggi terhadap isteri.

Akhirnya, si suami akan mula membina berbagai undang-undang dan larangan. Tanpa disangka, si suami akan menjadi seorang ustaz ‘segera’ disebabkan tindakan si isteri.

No comments:

Post a Comment