25 February 2015

Rozita hadiahkan Zain pakej umrah sempena hari lahir ke-31


Rozita Che Wan (kanan) meraikan hari lahir suami tercinta, Zain Saidin di Flora Terrace, Hampshire Place.
KUALA LUMPUR: Tahun lalu di Flora Terrace, Hampshire Place, hari lahir Zain Saidin diraikan isteri tercinta, Rozita Che Wan. Tahun ini lokasi yang sama dipilih sekali lagi bagi meraikan sambutan hari lahir Zain yang ke-31.
Pada acara itu turut diadakan majlis kesyukuran dan bacaan Yasin yang dipimpin Imam Muda Asyraf.
Rozita juga meraikan hari lahir penerbit popular, Fadzil Teh sebagaimana yang dilakukan beliau tahun lalu.
Bertemakan Glam Black, Rozita memilih untuk mengundang teman rapat dan ahli keluarga.
Lebih istimewa, Zain menjelaskan isterinya turut menghadiahkan pakej umrah. Zain dan Rozita akan berangkat ke Tanah Suci Makkah pada pagi 25 Februari.
"Kami akan pergi berdua ke sana. Ia umrah pertama saya dan isteri saya sudah beberapa kali mengerjakan umrah," katanya memulakan bicara.
Ditanya mengenai kehidupannya kini di usia sekarang, beliau sempat berseloroh membayangkan dirinya masih berusia 21 tahun. Banyak hal yang diimpikan selain mengharapkan rumah tangga bersama Rozita berpanjangan hingga ke jannah.
"Saya juga mahu menceburi dunia perniagaan sendiri. Lagipun saya juga tak mampu meramal sampai bila akan bertahan dalam dunia seni. Saya perlukan sandaran.
"Buat permulaan saya dan teman artis, Hairie Safwan sedang mengusahakan perniagaan pakaian kanak-kanak dengan harga murah serta mampu milik. Ini langkah permulaan saya dan insya-Allah nanti saya merancang perniagaan pakaian juga tetapi lebih kepada pasaran atasan.
"Kami buat sementara waktu beroperasi hanya melalui dalam talian selain menyertai bazar di serata negeri tak lama lagi," katanya yang dijangka kembali mempromosikan dunia nyanyian yang selama ini tertunda kerana beberapa masalah.
Zain juga mengakui kehadiran cahaya mata sulung comel hasil perkongsian hidupnya dengan Rozita iaitu Aaisyah Dhia Rana melengkapkan kehidupannya. Bayi popular itu kini sudah mencecah usia empat bulan.
"Hidup saya hampir sempurna. Tapi dari segi kewangan saya kena terus bekerja keras untuk memastikan kesenangan keluarga. Dengan usaha, insya-Allah rezeki itu takkan pernah putus. Kehadiran Aaisyah juga terus menambah rezeki.
"Aaisyah bagai rahmat istimewa buat saya dan isteri. Malah setiap orang yang berjumpa dengannya akan tersenyum gembira dan seakan dapat melupakan masalah yang ada," katanya.

2 comments: