30 August 2016

"Sayalah yang naikkan bendera Tanah Melayu 31 Ogos 1957.."



Sebahagian daripada tugas hakiki Mohd Sarif Kalam memerlukan beliau menaikkan bendera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tatkala adanya majlis rasmi.

Bersama rakan setugas lain, beliau akan sentiasa memastikan tidak berlakunya sebarang ‘kecacatan’ yang akan merosakkan upacara yang sedang berlangsung.

Namun, pada tanggal 31 Ogos 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan mencapai kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pesara tentera laut berusia 79 tahun itu merasa sedikit kelainan.

Keseluruhan tubuhnya gemuruh malah hampir menangis kerana terlalu sayu menyedari dirinya berada di tengah lautan manusia untuk melaksanakan satu-satunya tanggungjawab yang baginya tidak akan berulang, katanya dalam temu bual di kediamannya di sini baru-baru ini.

Katanya, tugas itu lebih berat berbanding hari biasa kerana perlu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (yang kini dikenali sebagai Malaysia dan bendera dikenali sebagai Jalur Gemilang) secara rasmi buat pertama kali untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

Sebelum itu, Mohd Sarif hanya melihat proses-proses pembuatan bendera itu dari jauh sewaktu menjalani latihan menaikkan bendera berkenaan di Depoh Latihan Polis (kini Pusat Latihan Polis) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Pakcik berkampung empat hari tiga malam di Depoh itu untuk memastikan latihan menaikkan bendera Malaysia berjalan lancar dan pada kesempatan itu, pakcik melihat bagaimana ia (bendera) dibuat.

“Memang rasa bangga kerana menjadi antara orang yang pertama melihatnya, namun pakcik rasa pelik kerana perasaan (bangga) itu belum cukup menyengat.

“Sampailah bila tiba detik bersejarah, perasaan semangat itu lain, tambahan lagi bila kedudukan kita berada di tengah padang, dikelilingi orang-orang kenamaan termasuk Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Ia menjadikan detik itu lebih bermakna kerana semua orang tertumpu kepada arah bendera Malaysia,” kata Mohd Sarif.

Katanya, beliau bertuah kerana diberi kepercayaan yang tinggi oleh ketua unitnya untuk melaksanakan tanggungjawab itu, walaupun pada hakikatnya beliau hanyalah seorang laskar biasa di bahagian komunikasi TLDM ketika itu.

“Pakcik dipilih melakukan tugas itu ketika baru berusia 20 tahun dan sudah dua tahun bekerja.

“Mujur, pakcik dibantu dua lagi individu bersama pakcik ketika itu iaitu pegawai bentara kanan (Awang Mohd Salleh) dan laskar kanan TLDM (Oliver Culvelt Samuel) dan kami melakukannya dengan sempurna sekali sambil diiringi nyanyian lagu Negaraku,” kata beliau yang berasal dari Batu Pahat itu.

Mohd Sarif berkata setelah beliau menamatkan perkhidmatan dengan TLDM pada 16 April 1987, beliau kerap menceritakan kembali detik-detik berkenaan dengan masyarakat sekeliling termasuk anaknya serta saudara-mara.

Menurutnya, perkongsian beliau itu sebagai mengingatkan golongan muda agar lebih menghargai dan memahami sebaiknya erti kemerdekaan setelah pejuang negara bertungkus-lumus menghadapi pelbagai konflik ketika menghadapi penjajahan asing dan konfrontasi bermula era 1940-an hingga 1960-an.

Credit to Geng Keselamatan Negara

6 comments: