19 April 2016

Hakikat di sebalik kebencian orang kafir terhadap Zakir Naik



SUDAH lebih 1400 tahun dua ayat Al-Quran di bawah ini diturunkan kepada umat manusia. Dan mungkin sudah puluhan kali kita baca dua ayat Al-Quran ini, namun adakah kita dapat fahami hakikat pertembungan yang berterusan sejak zaman nabi hingga hari ini?
Firman Allah SWT:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ هَلْ تَنْقِمُونَ مِنَّا إِلَّا أَنْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلُ وَأَنَّ أَكْثَرَكُمْ فَاسِقُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik“. (Surah Al-Maidah: 59)
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Dan tidaklah mereka mencela/marah dan menyeksa orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!” (Surah Al-Buruj: 8)
Imam al-Qurtubi ketika mengolah ayat 8 Surah al-Buruj di atas menyatakan;
أي إلا أن يصدقوا بالله العزيز أي الغالب المنيع . الحميد أي المحمود في كل حال .
“Maksudnya (Tidaklah mereka mencela orang beriman) melainkan kerana mereka yang beriman itu percaya dan membenarkan Allah s.wt Al-`Aziz, iaitu yang Maha berkuasa dan yang tidak dapat dikalahkan, Al-Hamid iaitu yang sentiasa terpuji dalam semua keadaan”. (Al-Jami` li Ahkam Al-Quran, Jil. 19, m/s. 294)
Al-Hafiz al-Baghawi as-Syafi`e pula telah menaqalkan kata-kata Ibnu Abbas ketika mentafsirkan ayat ini;
قال ابن عباس رضي الله عنهما: ما كرهوا منهم، إلا أن يؤمنوا بالله
“Ibnu Abbas ra berkata: Tidakkah mereka MEMBENCI orang-orang yang beriman itu melainkan hanyalah disebabkan mereka beriman kepada Allah SWT.” (Ma`alim al-Tanzil fi Tafsir Al-Quran (Tafsir Al-Baghawi), Jil. 8, m/s 387)
Ya. Beriman kepada Allah, inilah punca utama mengapa orang kafir yang memusuhi Islam membenci orang yang beriman dan sanggup buat apa saja terhadap kita. Hari ini Allah bongkar sikap mereka melalui kedatangan Dr Zakir Naik ke Malaysia yang sedang hangat diperkatakan.
Hakikatnya, mereka yang beriya-riya menentang program ceramah Dr Zakir Naik ini adalah kerana mereka terasa dicabar. Takut-takut rakyat Malaysia berpaling daripada mereka dan mula sedar akan kebenaran Aqidah Islam. Sebab itu DAP – melalui Ramasamy – sangat berani menggelar Zakir Naik sebagai “Satan”. Sebab itu jugalah MIC dan Hindraf sejak awal lagi sangat bersungguh-sungguh menghalang kehadiran dan penganjuran program Zakir Naik di Malaysia ini.
Kerana, mereka tidak mahu Allah SWT diimani oleh rakyat Malaysia. Mereka tidak mahu kalimah Allah dijulang tinggi. Bagi mereka, demokrasi dan kebebasan bersuara hanyalah untuk selain isu Aqidah Islam sahaja. Jika tidak, kedudukan mereka akan tercabar kerana manusia tidak lagi tunduk kepada mereka, tetapi tunduk kepada Allah SWT.
Sangatlah tepat pandangan As-Syahid Sayyid Qutb yang menyatakan bahawa Maqasid Asasi (Tujuan tertinggi & utama) Al-Quran adalah perjuangan di dalam pertempuran Aqidah (معركة العقيدة), melawan musuh-musuh Umat Islam, dan menetapkan umat Islam di atas jalannya. (Tafsir fi Zilal Al-Quran, jil. 1, m/s. 3541)
Al-Quran di sisi Sayyid Qutb bukanlah bercerita mengenai peristiwa yang berlaku pada sesuatu tempoh zaman tertentu yang telah berlalu dan berakhir begitu sahaja. Bukan juga mengisahkan tentang pertembungan dengan Jahiliyyah lalu yang telah hapus di mamah zaman. Tetapi ia bercerita mengenai segala Jahiliyyah-Jahiliyyah yang wujud tidak kira masa dan zaman. Tentang pertembungan dengan realiti yang terpesong tidak kira zaman, dan membawa realiti tersebut pulang ke Jalan Allah yang lurus. (Tafsir fi Zilal Al-Quran, Jil. 3, m/s. 1219)
Peristiwa hari ini juga sepatutnya dalam masa yang sama menyedarkan kita bahawa Aqidah Islam merupakan sesuatu yang sangat mahal tidak ternilai. Sangat mahal apabila kita betul-betul memahami hakikatnya. Apabila kita tahu bahawa Aqidah ini bisa menggoncang kedudukan kuasa dunia yang sedang bermaharajalela menyesatkan manusia saat ini.
Ustaz Ahmad bin Khairuddin
BA (Hons) Syariah, Fiqh & Usul Fiqh, Jordan
Ahli Majlis Ulama Isma
Artikel ini telah disiarkan di laman web Majlis Ulama Isma (MUIS) www.muis.org.my.

2 comments:

  1. respect sangat dengan Dr. Zakir Naik ni sebab dia sangat berilmu dan selalu beri hujah yang kukuh.

    ReplyDelete